X

Kindly register in order to view this article
!

85 peratus kehadiran murid direkodkan

Mohd Radzi Md Jidin
A
A

SHAH ALAM - Walaupun negara sedang berdepan gelombang ketiga penularan koronavirus (Covid-19), kadar kedatangan murid dan pelajar ke sekolah di seluruh Malaysia ketika ini masih pada tahap yang amat baik iaitu merekodkan sebanyak 85 peratus kehadiran.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, angka sama itu dicatatkan pada Julai lalu selepas sekolah kembali dibuka setelah ditutup sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, kehadiran pelajar ke sekolah berdasarkan data terkini pada 14 Oktober lalu menggambarkan ia berada pada tahap seperti sebelum gelombang ketiga Covid-19 tanpa mengambil kira sekolah-sekolah yang ditutup di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Jika kita lihat di negeri-negeri tertentu, sebagai contoh di Kelantan, kehadiran yang direkodkan adalah sebanyak 90.43 peratus. Ia peratusan yang tinggi. Di Sarawak pula mencatatkan angka 89.3 peratus.

“Jadi, apabila kita bercakap tentang kehadiran, data-data menunjukkan kehadiran ke sekolah amat baik yang menunjukkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya pada program bual bicara Soal Rakyat bertajuk ‘Covid-19 dan Persekolahan’ yang dihoskan Fedtri Yahya dan disiarkan secara langsung di TV3 pada Sabtu lalu.

Pelajar makan di dalam kelas juga adalah antara SOP yang perlu dipatuhi bagi mengelak kesesakan di kantin sekolah.
Pelajar makan di dalam kelas juga adalah antara SOP yang perlu dipatuhi bagi mengelak kesesakan di kantin sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ibu bapa khususnya di negeri-negeri zon hijau seperti Perlis pula yakin keselamatan anak-anak mereka terjamin dan menghantar mereka ke sekolah seperti biasa.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, di sebalik angka 85 peratus kehadiran ke sekolah secara purata itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga bimbang tentang masalah keciciran pelajar yang berlaku akibat Covid-19.

“Kita di kementerian berusaha mengurangkan keciciran. Pelbagai usaha telah dibuat bagi memastikan anak-anak ini dapat ke sekolah tetapi apabila berlaku Covid-19, sebanyak 85 peratus direkodkan hadir, maknanya ada (murid dan pelajar) yang tidak hadir,” katanya.

Keciciran

Beliau menjelaskan, ada pelajar yang tidak hadir kerana ibu bapa risau kesihatan anak-anak mereka sekiranya datang ke sekolah, selain semangat pelajar yang semakin hilang apabila sekolah ditutup untuk satu tempoh yang panjang semasa PKP.

Katanya, murid dan pelajar juga datang daripada latar belakang sosioekonomi berbeza dan ada antara mereka sangat terkesan dengan penularan Covid-19 apabila ada ibu bapa yang kehilangan kerja dan sebagainya.

“Saya banyak kali turun di sekolah-sekolah dan apabila saya masuk ke bilik darjah bertanya khabar anak-anak, ada antara mereka yang cerita, dulu ayah mereka bekerja tetapi selepas Covid-19 ayah sudah tak bekerja lagi. Ia banyak berlaku, khususnya di kawasan luar bandar dan ia menjejaskan mereka untuk ke sekolah kerana melibatkan perbelanjaan.

“Adik-beradik pula ramai, jadi itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka datang ke sekolah, kadangkala tak datang. Banyak faktornya,” katanya.

Menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan sudah menjadi amalan biasa murid di sekolah.
Menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan sudah menjadi amalan biasa murid di sekolah.

Berikutan itu, Dr Radzi berkata, perkara tersebut sedang diteliti kementeriannya agar anak-anak yang dibelenggu masalah itu dapat diberi perhatian kerana pihaknya tidak mahu apabila ada vaksin Covid-19 dan penularan wabak berakhir, ada satu kelompok besar murid dan pelajar tercicir sekolah.

Pada waktu itu kelak, jelasnya, sudah terlambat bagi pihaknya untuk mendekati anak-anak berkenaan.

Disebabkan itu, pihaknya sangat teliti memastikan pihaknya mengetahui sebab seseorang murid atau pelajar tidak hadir ke sekolah agar masalah yang dihadapi dapat ditangani.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan disuarakan sesetengah pihak agar KPM menutup semua sekolah dalam situasi penularan Covid-19 gelombang ketiga dan melaksanakan pembelajaran dalam talian, Mohd Radzi berkata, pihaknya tidak boleh terburu-buru membuat keputusan kerana kesannya cukup besar.

Beliau menegaskan, KPM menaungi lebih lima juta murid dan pelajar, mempunyai lebih 500,000 guru dan warga kementerian itu serta terdapat lebih 10,000 buah sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara, sekali gus menjadikan segala keputusan yang ingin dilaksanakan KPM akan memberi kesan kepada seluruh Malaysia.

Tutup

“Sebab itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan beliau sebelum ini menyebut bahawa sebarang keputusan untuk menutup sekolah di seluruh Malaysia mesti dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia merupakan komponen besar sosioekonomi negara.

“Apabila kita bercakap tentang pembelajaran online, bagi mereka yang mempunyai akses internet dan peranti teknologi, pembelajaran online itu adalah pilihan terbaik.

“Namun, ramai anak kita yang tinggal di kawasan dengan akses internet agak minimum dan ada juga yang tidak mempunyai sebarang peranti. Apakah nasib anak-anak ini?” soal beliau.

Meja pelajar disusun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Meja pelajar disusun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Justeru, Mohd Radzi berkata, tidak adil kepada murid dan guru sekiranya semua sekolah ditutup, contohnya di kawasan hijau di Sarawak sedangkan apabila ditanya, mereka mengakui mahu ke sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, penutupan sesebuah sekolah dilakukan berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hanya sekolah yang mempunyai jangkitan kes positif Covid-19 ditutup.

“Apa sahaja keputusan yang kita buat, kita bincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan MKN,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!