Pemandu lori ikan maut tersepit

Anggota bomba mengeluarkan seorang pemandu lori ikan yang tersepit di tempat duduknya selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 147 Lebuhraya Utara-Selatan, Tangkak malam tadi.
Anggota bomba mengeluarkan seorang pemandu lori ikan yang tersepit di tempat duduknya selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 147 Lebuhraya Utara-Selatan, Tangkak malam tadi.
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki maut apabila lori muatan ikan dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 147 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.28 malam, Saari Jaafar, 42, yang memandu lori Nissan cedera parah dan tersepit selepas berlanggar dengan sebuah treler muatan kacang soya yang diproses menjadi dedak.

Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu akibat bahagian depan lori yang remuk teruk.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu treler yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Simpang Renggam terselamat dan operasi tamat jam 11.35 malam.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Iswara dan lori Isuzu di Taman Berlian Biru, Kluang, jam 12.33 tengah malam tadi.

Mangsa, Chua Ching Choon, 37, yang memandu kereta itu tersepit di tempat duduk pemandu dan seramai 11 anggota dari BBP Kluang dengan satu FRT serta satu jentera EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Affendy Mustafa berkata, dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) turut membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Pemandu lori berkenaan terselamat dan operasi tamat pada jam 1.21 pagi," ujarnya.