Suspek amuk serang warga emas diberkas

Suspek amuk menyerang dua wanita termasuk warga emas di Kampung Merbuk Selarong Panjang direman empat hari bagi membantu siasatan.
Suspek amuk menyerang dua wanita termasuk warga emas di Kampung Merbuk Selarong Panjang direman empat hari bagi membantu siasatan.
A
A
A

KULIM - Suspek amuk yang menyerang dua wanita termasuk warga emas menggunakan parang dan besi di Kampung Merbuk Selarong Panjang kelmarin diberkas kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai warga Thailand ditahan anggota rondaan cegah jenayah Balai Sungai Kob dengan bantuan orang awam di Kampung Jalan Baru Sedim selepas mengamuk di sebuah rumah sehingga merosakkan dua buah motosikal kelmarin.

Menurutnya, suspek merupakan penganggur, mengaku terlibat dalam kejadian amuk terbabit dengan menyerang dua wanita menggunakan sebilah parang dan sebatang besi.

"Turut dirampas, sebilah parang panjang berukuran 53 sentimeter dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, dalam kejadian pada jam 7 petang itu, mangsa mendakwa, suspek yang tidak dikenali secara tiba-tiba muncul di rumahnya sebelum menyerang mangsa berusia 35 tahun dan neneknya berusia 86 tahun yang ketika itu sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian amuk dirampas. (Gambar kecil: Azhar Hashim)
Sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian amuk dirampas. (Gambar kecil: Azhar Hashim)

"Suspek dikatakan telah mengacukan parang dan cuba menikam, namun mangsa sempat mengelak.

"Suspek kemudian mengacukan parang ke arah nenek mangsa, bagaimanapun berjaya dihalang.

Artikel Berkaitan:

"Ketika keluar dari rumah terbabit, suspek merosakkan dua buah motosikal jenis Honda RS dan Yamaha R25 milik adik dan ibu saudara mangsa menggunakan parang sebelum melarikan diri," katanya.

Menurutnya, suspek berjaya dikesan dengan bantuan orang awam malam tadi dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.