X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar bidas kerajaan Muhyiddin

Anwar
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan hari ini yang dilihat mengeluarkan arahan mengelirukan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan pelaksanaan bekerja dari rumah.

Beliau berkata, perkara itu bukanlah bahan ketawa kerana memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang.

Menurutnya, lapan bulan telah berlalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, tetapi masih ramai belum jelas soal strategi kerajaan dalam menangani kemelut berkenaan dan bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi.

Katanya, apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman.

"Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa.

"Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru?

"Perubahan di saat akhir termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, keyakinan sama ada domestik atau para pelabur luar tidak akan terbina apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

"Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut.

"Walaupun kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan.

"Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000 iaitu sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang," katanya.

Selain itu, Anwar berkata, beliau mengulangi gesaan agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman kerana langkah itu sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut yang dijangka akan berpanjangan.

"Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang mempunyai kualiti dengan melanjutkan moratorium

pinjaman untuk tiga bulan lagi. Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP.

"Adalah tidak mengejutkan tatkala kerajaan terus senyap terkait golongan berpendapatan rendah kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!