KAKB ada RM15 juta untuk miliki saham Lang Merah

KAKB mendedahkan mereka mempunyai RM15 juta bagi meyakinkan KFA untuk membolehkan mereka memiliki saham pasukan bola sepak Kedah. Gambar kecil: Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman
KAKB mendedahkan mereka mempunyai RM15 juta bagi meyakinkan KFA untuk membolehkan mereka memiliki saham pasukan bola sepak Kedah. Gambar kecil: Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman
A
A
A

KOPERASI Anak Kedah Berhad (KAKB) mendedahkan mereka mempunyai RM15 juta bagi meyakinkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk membolehkan mereka memiliki saham pasukan bola sepak Kedah.

Penasihat KAKB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman berkata, jumlah komitmen tersebut telah dinyatakan sendiri kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melalui satu panggilan telefon pada Isnin lalu.

Menurutnya, selain RM15 juta yang berjaya dikumpul, masih lagi ada beberapa penaja berpotensi lain yang menunjukkan minat untuk menaja melalui KAKB.

"Meskipun kami masih belum menerima sebarang respon mengenai Ringkasan Terma tersebut yang dihantar kepada KFA, kami yakin pihak KFA sedang berusaha meneliti cadangan tersebut demi masa depan bola sepak Hijau Kuning.

"Melalui percakapan dengan Menteri Besar Kedah, beliau menjelaskan terdapat beberapa pihak lain yang turut mahu menaja pasukan Kedah pada musim 2021 termasuk pihak kami.

"KAKB akan terus meyakinkan KFA bahawa konsep pemilikan penyokong bukan lagi asing di luar negara dan telah menyaksikan kejayaan banyak kelab-kelab ternama dari sudut memperkukuh kewangan seperti FC Barcelona, Juventus FC, Yokohama FC dan banyak lagi," katanya.

Menurut Ahmad Shaizuan, pihaknya sedar bahawa cadangan yang baharu tidak mudah untuk difahami apatah lagi dilaksanakan kerana menuntut iltizam dan kebijaksanaan dari pihak berkuasa dalam melihat gambaran lebih besar tentang aspek penswastaan iaitu pulangan terhadap perbelanjaan ekonomi negeri.

"KAKB berharap KFA masih membuka ruang perbincangan kepada kami dan tidak terburu-buru membuat keputusan. Bagi penyokong-penyokong Hijau Kuning, ini adalah permulaan bagi perjuangan ke arah pemilikan saham penyokong. Kita mahu ia tercetus di Kedah dan merebak ke seantero Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan KAKB sedang menunggu kata putus Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang dinanti oleh Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) bagi memiliki 80 peratus saham skuad Lang Merah seperti dipersetujui secara lisan dalam perjumpaan pada 7 Oktober lalu.