'Bukan aksi terbaik Liverpool '

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui lega selepas pasukannya berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Ajax Amsterdam dalam aksi pembukaan Kumpulan D Liga Juara-Juara Amsterdam Arena.

Menurutnya, pasukannya tidak beraksi baik namun tetap berpuas hati dengan keputusan yang menyaksikan The Reds berjaya meraih tiga mata di sebalik kecederaan pemain pertahanannya, Virgil van Dijk.

"Saya rasa ia sudah cukup baik untuk menang perlawanan ini. Itu yang anda perlukan walaupun saya percaya kedua-dua pasukan boleh menampilkan perlawanan yang lebih bagus.

"Keadaan padang sangat lembut. Tiga hari lalu ia dalam keadaan baik, namun pada sesi latihan dan perlawanan hari ini ia sangat berbeza.

"Dalam masa sama, kami tidak mengambil peluang yang terhidang. Ia bukanlah permainan terbaik Liverpool tetapi kami dapat tiga mata yang dimahukan," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol sendiri pemain Ajax, Nicolas Tagliafico pada minit ke-35 sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada The Reds.

Dalam masa sama, Klopp turut memuji peranan ditampilkan Fabinho yang diturunkan sebagai pertahanan tengah menggantikan van Dijk.

"Dia bermain baik dan ini juga bukan kali pertama dia beraksi di posisi tersebut. Ia contoh bagaimana pemain membuktikan mereka boleh diletakkan di banyak posisi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, beberapa pemain lain seperti Xherdan Shaqiri sangat 'hidup', manakala Takumi Minamino luar biasa. Saya harap mereka dapat konsisten mempamerkan persembahan yang baik," katanya.