'Ini bukan Real Madrid sebenar'

Zinedine Zidane
Zinedine Zidane
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan bahawa dia masih mampu memperbaiki keadaan Los Blancos yang dipalit dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Gergasi La Liga itu meneruskan momentum tempang apabila tewas 3-2 kepada kelab Ukraine, Shakhtar Donestk pada aksi perigkat kumpulan Liga Juara-Juara di Estadio Alfredo Di Stefano.

Los Blancos yang ketika ini berada pada kedudukan ketiga La Liga sebelum itu di venue sama tewas 0-1 kepada kelab yang baharu dinaikkan dari kejuaraan Segunda, Cadiz.

Menurut bekas pemain Perancis berusia 48 tahun itu, barisan bintang Los Blancos tidak berada pada prestasi sebenar masing-masing berdasarkan penilaiannya dalam dua perlawanan berkenaan.

"Saya bertanggungjawab untuk kekalahan ini kerana sejak babak pertama kami bermula dengan aura negatif, sesuatu yang saya tidak berjaya atasi sepanjang tempoh perlawanan ini.

"Saya yakin mampu memperbaiki segala kelemahan dialami Real Madrid dalam dua perlawanan sebelum ini sekali gus meletakkan kembali kelab ini ke landasan kemenangan semula.

"Cumanya sekarang saya bersama pemain-pemain perlu melihat lebih dalam seterusnya memperbaiki segera kelemahan ini sebelum perlawanan menentang Barcelona pada Sabtu," katanya.

Pada aksi itu Real Madrid terlebih dulu ketinggalan tiga gol apabila pelawat meledak menerusi Tete (29'), Raphael Varane - gol sendiri (33') dan Manor Solomon (42') pada babak pertama.

Artikel Berkaitan:

Babak kedua menyaksikan anak buah Zidane berusaha kembali ke perlawanan dengan meledak dua gol hasil jaringan Luka Modric (54') dan Vinicius Junior (59').

Jelas Zidane lagi, dia optimis Los Blancos mampu memberi impak positif menjelang perlawanan kedua saingan berprestij kelab bola sepak Eropah itu.

"Matlamat pertama adalah untuk mengubah segala-galanya kerana kempen ini baru sahaja bermula dan kita belum menurunkan senjata sebenar kita.

"Apapun saya akui ini adalah kekalahan yang sukar, namun kita kembali ke realiti bersiap untuk Sabtu," katanya.