Petronas menang tiga anugerah

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memenangi tiga anugerah pada majlis Anugerah Tenaga Asia Pasifik bagi Majlis Tenaga, pada Rabu.

Syarikat minyak itu juga mengekalkan kedudukan sebagai Syarikat Minyak Negara Asia Tenggara Terbaik tahunan buat kali ketiga berturut-turut, menewaskan PT Pertamina Indonesia dan PTT Exploration and Production Thailand.

Naib Presiden Kanan Pembangunan dan Pengeluaran, Perniagaan Huluan, Petronas, Adif Zulkifli menerima anugerah itu bagi pihak syarikat minyak milik negara itu.

"Anugerah ini mengiktiraf dan menghargai semua pihak dalam banyak pasukan yang terlibat dalam Petronas secara menyeluruh.

"Usaha semua pihak yang tidak kenal penat, serta komitmen rakan kongsi kami, selain inisiatif usaha sama yang berjaya, membolehkan kejayaan ini diraih," katanya dalam ucapan.

Majlis Anugerah ini berlangsung sempena Majlis Makan Malam Anugerah Tenaga Asia Pasifik, yang diadakan sempena Perhimpunan Tenaga Asia Pasifik 2019.

Anugerah Majlis Tenaga merupakan penanda aras kecemerlangan global bagi mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas.

Anugerah Majlis menghargai dan mengiktiraf mereka yang terlibat secara langsung dalam industri dalam tempoh 12 bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

Lebih 50 hakim meneliti senarai panjang pencalonan selama beberapa minggu untuk memutuskan pemenang, berdasarkan kriteria yang ketat.

"Sejak awal penubuhan kira-kira 45 tahun lepas, Petronas telah, dan terus komited dalam misi kami untuk membangun dan menambah nilai kepada sumber minyak dan gas.

"Kami berusaha untuk memberikan kecemerlangan komersial dan operasi selain memperkaya kehidupan pelanggan kami melalui perniagaan bersepadu, sentiasa mengenal pasti berdasarkan sudut pandangan para pelanggan," kata Adif.

Petronas juga memenangi Kategori Hiliran manakala Naib Presiden Penerokaan Huluan, Emeliana Rice-Oxley, memenangi Anugerah Eksekutif Wanita Terbaik Asia Pasifik.

Sebanyak 10 kategori anugerah kali ini dengan syarikat minyak dan gas Malaysia memenangi empat daripadanya.

Selain Petronas, penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Bhd, turut menerima anugerah Syarikat Asia Pasifik Terbaik dalam perkhidmatan tenaga, kategori luar pesisir dan marin.

Majlis Tenaga ialah platform utama ahli bagi memulakan perjanjian dan hubungan global dalam sektor tenaga boleh baharu, serta sektor minyak dan gas asli.

Makan Malam Anugerah itu berlangsung di Pusat Konvensyen Raffles City.- Bernama