X

Kindly register in order to view this article
!

Iskandar Malaysia: Muhyiddin sokong inisiatif berpaksikan rakyat

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin -Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati penduduk di Iskandar Malaysia terus mendapat manfaat daripada pembangunan di wilayah tersebut dan menyokong lebih banyak inisiatif berpaksikan rakyat yang boleh meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Muhyiddin yang juga pengerusi bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, sebagai sebuah wilayah ekonomi, Iskandar Malaysia mencatatkan pencapaian pelaburan yang cemerlang sejak ia dibuka sehingga sekarang.

"Bagaimanapun, saya lebih teruja melihat banyak pencapaian wilayah itu dalam memastikan rakyat tidak terpinggir dan membangunkan komuniti yang padu dan berdaya tahan di tengah-tengah pembangunan pesatnya,” kata Perdana Menteri selepas mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa (MoA) IRDA menerusi sidang video pada Isnin.

Kenyataan mengenai mesyuarat itu dikeluarkan oleh IRDA di sini hari ini.

Menurut IRDA, Iskandar Malaysia merekodkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM322.1 bilion dari 2006 hingga Jun 2020 dengan lebih 750,000 pekerjaan diwujudkan sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, agenda perkongsian kesihatan dan keterangkuman dalam Pelan Pembangunan Komprehensif (CDPii) bertujuan untuk mencapai kekayaan yang sama rata bagi masyarakat yang tinggal di Iskandar Malaysia.

“Aspek penting dalam memastikan kemampanan agenda ini adalah bagi memastikan ekosistem menggalakkan hubungan sosial untuk membantu masyarakat menyertai proses membuat keputusan dan pelaksanaan inisiatif berasaskan tempatan,” katanya.

Ismail berkata, satu cadangan utama dibangkitkan semasa mesyuarat MoA adalah untuk mengatur usaha pengumpulan data menerusi pertubuhan masyarakat sosial (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan penggunaan teknologi.

Muhyiddin berkata, dengan menggunakan data yang dikumpulkan oleh CSO dan NGO serta memanfaatkan teknologi untuk menganalisis data ini, ia akan membantu pihak berkuasa dan rakan kongsi lain di Iskandar Malaysia untuk menyediakan penyelesaian dan inisiatif lebih efektif dan berasaskan bukti bagi kesejahteraan rakyat.

Inisiatif lain yang dicadangkan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran pemimpin institusi berasaskan komuniti.

"Cadangannya adalah agar masyarakat dan wakil serta pemimpin komuniti yang dilantik menjalani latihan pembinaan kapasiti berstruktur bagi meningkatkan lagi keberkesanan peranan mereka dalam membantu kerajaan memperkasakan rakyat,” katanya.

Cadangan ketiga adalah untuk menyokong inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kerajaan dengan menggabungkan modul pembelajaran literasi kewangan dalam semua program pemerkasaan sedia ada.

Meskipun dua inisiatif kerajaan itu akan menyediakan sokongan kewangan segera dan bantuan kepada rakyat, kemahiran perancangan kewangan yang baik akan membantu mereka dalam mengatur dan menyebarkan sumber kewangan mereka, katanya.

“Saya percaya Ahli-Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju dengan saya dalam agenda berpaksikan rakyat di Iskandar Malaysia dan menyokong cadangan inisiatif untuk membantu lagi rakyat, terutamanya semasa dan selepas pandemik Covid-19,” kata Muhyiddin. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!