X

Kindly register in order to view this article
!

Saran kejohanan dalaman dua minggu sekali

Muhammad Haiqal Hanafi (tengah) yang memenangi pingat emas acara 100 meter pada Sukan SEA 2019 di Filipina adalah antara atlet olahraga negara yang tidak dapat menjalani latihan ketika ini. (Gambar kecil: Nazmizan Muhammad)
A
A

"BUAT kejohanan dalaman dua minggu sekali sekiranya situasi Covid-19 masih belum reda dalam masa terdekat." Itu cadangan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berhubung kemelut ketiadaan pertandingan kompetitif dalam kalangan atlet olahraga negara hampir lapan bulan berikutan pandemik Covid-19.

"Sekarang kita tahu semua atlet telah menjalani latihan, cuma itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menilai prestasi sebenar mereka.

"Jika nak tunggu Covid-19 ini reda, jawabnya jurulatih tidak berpeluang untuk menilai prestasi semasa atlet masing-masing. Jika kita lihat satu-satunya peluang yang ada dalam dua tiga bulan ini adalah dengan penganjuran kejohanan dalaman.

"Namun, kejohanan dalaman itu perlu mendapat pengiktirafan dari segi catatan masa bagi atlet yang mengambil bahagian sebagai suntikan motivasi kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan KOM mengharapkan situasi Covid-19 yang melanda dunia ketika ini akan reda menjelang penganjuran Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 hingga 13 Disember depan.

Mengulas lanjut, bekas pelari pecut negara berusia 39 tahun itu berkata, penganjuran kejohanan terbuka melibatkan penyertaan atlet luar negara sememangnya penting dalam menyuntik semangat juang dalam kalangan atlet olahraga untuk menghasilkan keputusan positif.

"Sebenarnya jiwa atlet sejati suka kepada cabaran dan persaingan, tambahan pula keterujaan itu akan mengatasi setiap halangan apabila mereka dipilih menggalas cabaran atas nama Malaysia.

"Namun, dalam situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini adalah lebih baik difokuskan kepada penganjuran dalaman dalam yang melibatkan atlet olahraga negara," jelasnya.

Mengenai kepadatan jadual sekiranya dianjurkan kejohanan dalaman dua minggu sekali, Nazmizan memberitahu, ia tidak menjadi masalah kerana atlet mendapat rehat yang mencukupi dalam tempoh berkenaan.

"Kejohanan dianjurkan dua minggu sekali bukan seminggu sekali, jadi saya tidak nampak sebarang masalah kepada atlet kebangsaan melakukan persediaan.

"Sekiranya konsep yang diterapkan ini memberikan impak positif dan Covid-19 masih belum reda, ia boleh juga diperluaskan untuk kejohanan dalaman di negeri-negeri selepas ini," ujarnya.

Ditanya sama ada kejohanan sebegitu mampu meningkat motivasi atlet negara, Nazmizan berkata: "Biarpun tidak melibatkan atlet luar, hendak tak nak setiap atlet negara perlu mengambil serius kejohanan ini sebagai medan mengukur dan meningkatkan prestasi diri masing-masing kerana ini sahaja pentas yang mereka ada dalam situasi pandemik Covid-19.

"Saya percaya dalam kalangan atlet negara kebanyakan sudah lama bersedia untuk kembali ke gelanggang tambahan pula sebelum ini pun mereka sudah menjalani latihan sejak enam bulan lalu.

"Fasa persediaan mereka pun sebenarnya kini sudah berada pada tahap terbaik dan semangat mereka membuak-buak untuk kembali berentap di gelanggang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!