Surat yang memeranjatkan

No Image Caption
A
A
A

MENURUT khabar angin, Presiden UMNO ada menulis surat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Bukan sebarang surat, tapi surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Banyak orang terkejut dengan surat itu. Tambah mengejutkan lagi surat itu ditandatangani juga oleh Bossku mantan Perdana Menteri.

Memang Setiausaha Eksekutif UMNO, Mohd Sumali Reduan ada buat kenyataan bahawa surat itu palsu. Tapi daripada tuan badan sendiri, baik Tuk Seri Zahid mahupun Bossku mantan Perdana Menteri nampaknya mengelak daripada mengesah atau menafikannya.

Awang dah dengar rasa terkejut dan gelisah sebahagian pemimpin UMNO. Bagaimanakah Presiden dan mantan Pesiden mereka boleh buat begitu? Sedangkan pendirian UMNO ialah mereka tidak akan bekerjasama dengan Tuk Seri Anwar dan DAP. Sokong Tuk Seri Anwar maknanya menerima DAP.

Ada yang bertanya apakah Tuk Seri Zahid yang melakukannya? Khabarnya veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) ada buat kenyataan keras persoalkan tindakan itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO patutnya berlangsung dua malam lalu. Tapi mesyuarat itu dibatalkan pada saat akhir. Apakah penangguhan itu untuk bagi masa Tuk Seri Zahid atur strategi nak jawab?

Yang untung Perdana Menteri

Awang angkat topi pada Tan Sri Perdana Menteri. Ada orang kata nyawa kerajaannya ibarat telur di hujung tanduk. Ada yang kata dia tak akan bertahan lama. Ada yang kata dia akan mengundurkan diri dalam sidang Parlimen November hadapan kononnya sebab bakal tewas undi tak percaya ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

Jangan cakap terlalu awal. Nampaknya Tan Sri Perdana Menteri kita licik orangnya. Beliau orang lama dalam sepak terajang politik. Dalam keadaan hari ini, nampaknya bukan kedudukannya makin lemah tapi makin kuat.

Apabila parti Bersatu berpecah, dia yang dapat bahagian terbesar. UMNO ada tanda-tanda akan retak, nampaknya itu pun akan menguntungkan beliau. Blok paling besar di Parlimen ialah DAP. Tapi blok parti yang berteras Melayu semua tak besar, termasuk UMNO. Dengan keretakan dalam UMNO, parti itu tak ada kuasa nak menuntut apa-apa.

Awang rasa Tan Sri Perdana Menteri makin yakin dengan keadaan sekarang, tidak ada gabungan yang akan mengancam kedudukannya. Tun mantan Perdana Menteri masih terkial-kial nak daftarkan parti baharunya. Ku Li pun belum tentu boleh bawa sokongan majoriti ahli Parlimen. Tuk Seri Anwar yang harapkan sokongan sebahagian ahli Parlimen UMNO akan hilang sokongan itu apabila surat Tuk Seri Zahid jadi tular dan dikatakan palsu.

Bagi Awang, nampaknya Tan Sri Perdana Menteri akan kekal selagi musuh-musuhnya tak bersatu. Partinya tak perlu besar, tapi kuasa di tangannya akan jadikan dia semakin kuat.