Jakoa pantau semua kampung orang asli sewaktu Covid-19

Bantuan makanan yang disalurkan kepada penduduk hanya akan disampaikan oleh agensi dilantik iaitu Agensi Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Bantuan makanan yang disalurkan kepada penduduk hanya akan disampaikan oleh agensi dilantik iaitu Agensi Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
A
A
A

[LAPORAN KHAS] GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu sentiasa memainkan peranan dalam memberi penjelasan berhubung bahaya ancaman Covid-19 sebaik virus pembunuh itu menghantui negara pada penghujung bulan Februari lalu.

Pengarah Jakoa Negeri Kelantan dan Terengganu, Shafie Abas berkata, ini termasuklah inti pati yang terdapat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Kita memaklumkan kepada semua pegawai Jakoa di peringkat daerah supaya memantau semua perkampungan supaya mereka mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mereka tinggal dalam penempatan masing-masing.

“Langkah itu bertujuan supaya mereka dapat menghindari sebarang penyakit. Mereka juga menutup pintu masuk kampung supaya orang luar yang datang itu tidak membawa sesuatu yang tidak baik pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Shafie Abas
Shafie Abas

Cuma, menurut Shafie, tindakan yang diambil oleh suku Bateq di tiga kawasan kampung di Pos Lebir iaitu Kampung Kuala Koh, Kampung Aring 5 dan Kampung Machang iaitu berpindah sementara ke dalam hutan ketika beberapa siri pelaksanaan PKP adalah satu tindakan yang unik.

“Pengalaman terdahulu iaitu tragedi campak di Kampung Kuala Koh pada pertengahan tahun lalu menyebabkan mereka rasa trauma.

“Pada peringkat awal, mereka meninggalkan kampung dan berada di pinggir hutan di kawasan mereka. Apabila keadaan terkawal, mereka pulang semula ke kampung halaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selepas penjelasan Jakoa berhubung cara menghindari Covid-19, masyarakat orang asli di kampung berkenaan kini hidup secara normal dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.