'Semua lesu tetapi virus Covid-19 tidak lesu'

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMASKINI] Tidak dinafikan bahawa tempoh hampir 11 bulan bergelumang dengan pandemik koronavirus (Covid-19) menyebabkan petugas barisan hadapan dan rakyat berada dalam kelesuan.

Namun, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, virus Covid-19 tidak pernah lesu malahan terus bermutasi dan menular ke seluruh negara.

"Saya dapati semua petugas barisan hadapan dan wartawan serta rakyat merasa lesu selepas berhadapan dengan Covid-19 yang panjang tetapi virus ini terus bermutasi

dengan jangkitan lebih aktif iaitu kebolehjangkitan yang tinggi," katanya.

Menurutnya, kelesuan itu merupakan cabaran bagi negara untuk terus memerangi Covid-19.

"Kita tidak boleh ambil mudah dan perlu memerangi virus tersebut," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempergiatkan aktiviti awam di Sabah dan Lembah Klang.

"Kalau dilihat sejarah beberapa bulan ini, kita berjaya mengekang penularan virus di Sarawak dan kebanyakan daerah kini berada di zon hijau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, KKM komited dapat memutuskan rantaian Covid-19 dengan aktiviti survelan dan kesihatan awam.

"KKM juga perlukan rakyat yang patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau boleh duduk di rumah dalam tempoh 10 hari, besar kemungkinan boleh kita putuskan jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, sekiranya rakyat mendedahkan diri keluar ke tempat sesak dan berhimpun ada kemungkinan berisiko dijangkiti.

"Kita nasihatkan pakai pelitup muka, pastikan penjara satu meter dan kerap cuci tangan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menolak dakwaan bahawa pesakit di Hospital Tawau, Sabah hanya diberikan makanan sekali sehari.

"Itu tidak benar," tegasnya.

Menurutnya, hasil semakan dan siasatan di hospital berkenaan, pesakit diberi makanan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

"Di hospital KKM, jadual pemakanan tetapkan iaitu sarapan diberi sekitar jam 7 pagi, 12.30 makan tengah hari dan makan malam sekitar jam 5 petang," katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihati tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kerisauan umum.