Lebih 100 pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan

Ambulan dilihat keluar dari MRSM Kuala Klawang tengah hari tadi dipercayai terdapat pelajar yang disyaki mengalami keracunan makanan.
Ambulan dilihat keluar dari MRSM Kuala Klawang tengah hari tadi dipercayai terdapat pelajar yang disyaki mengalami keracunan makanan.
A
A
A

JELEBU - Lebih 100 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang di sini dirawat di Klinik Kesihatan Jelebu di sini kerana disyaki mengalami keracunan makanan semalam.

Naib Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) Malaysia cawangan MRSM Kuala Klawang, Rosdin Abdul Kahar berkata, kesemua pelajar berkenaan dipercayai mengalami simptom keracunan selepas menikmati makan malam di dewan makan asrama sekolah berkenaan pada jam 6 petang.

"Pada jam antara 3 dan 4 pagi tadi, pelajar mengadu sakit perut dan ada juga yang muntah.

"Kesemua pelajar kemudian diminta berkumpul dan mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Jelebu untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum dimaklumkan jumlah pelajar yang terlibat, malah belum mendapat kepastian sama ada terdapat pelajar yang dimasukkan ke hospital atau sudah pulang.

Rosdin berkata, pihaknya pernah menerima aduan daripada ibu bapa dan penjaga berkaitan rasa tidak puas hati dengan tahap kualiti makan yang disediakan di dewan makan asrama berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di luar sekolah berkenaan hari ini mendapati beberapa kenderaan termasuk ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari kawasan MRSM terbabit pada jam 12 tengah hari.

Difahamkan, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafaie Ab Malek dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan dijadualkan melawat sekolah berkenaan pada petang ini untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan: