X

Kindly register in order to view this article
!

Tergantung lebih 13 jam mahu bercakap dengan Trump

Lelaki tersebut tergantung pada balkoni tingkat 16 Trump Tower selama lebih 13 jam. - Foto Agensi
A
A

CHICAGO - Seorang lelaki nekad mengikat tubuhnya dengan tali dan berada dalam keadaan tergantung dari balkoni tingkat 16 Trump Tower di Chicago, Amerika Syarikat (AS) semalam semata-mata mahu bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump atau media.

Polis turut bergegas ke lokasi kejadian pada jam 5.27 petang (waktu tempatan) dan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dilaporkan masih berada dalam keadaan sama sehingga tengah malam.

"Dia mengancam untuk memotong tali yang mengikat tubuhnya jika permintaannya gagal dipenuhi. Perunding pihak berkuasa mengambil masa lebih 13 jam untuk memujuknya sebelum dia diselamatkan," ujar jurucakap polis.

Situasi itu berjaya ditangani tanpa berlaku sebarang kecederaan dan lelaki yang didakwa bercakap dalam loghat Eropah Timur itu kini berada di bawah tahanan polis.

Ketika kejadian tersebut, polis turut menutup lalu lintas di Upper Wacker di sekitar Trump Tower dan tindakan berani mati lelaki itu mendapat perhatian ramai berikutan ada yang beranggapan ia mungkin sebahagian daripada aksi lagak ngeri dalam filem Batman yang kini sedang menjalani penggambaran.

Difahamkan, Trump tidak berada di Chicago ketika insiden itu berikutan beliau menghadiri upacara keagamaan di sebuah gereja di Las Vegas sebelum menyertai kempen pilihan raya di Carson City.

Insiden itu berlaku sehari selepas Kesatuan United Steelworkers memaparkan logo kempen calon Presiden mewakili Parti Demokrat, Joe Biden dan pasangan regunya, Senator Kamala Harris pada menara pencakar langit tersebut.

Trump Tower setinggi 98 tingkat yang turut berfungsi sebagai hotel dan kondominium itu siap dibina pada 2009 dan menelan kos AS$847 juta (RM3.7 bilion).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!