18 pelajar KKKB galas amanah JPP

Mohd Ruzi (tengah) bersama kepimpinan Kolej Komuniti Kepala Batas dan barisan JPP yang dilantik bagi sesi 2019.
Mohd Ruzi (tengah) bersama kepimpinan Kolej Komuniti Kepala Batas dan barisan JPP yang dilantik bagi sesi 2019.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 18 pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) menggalas tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi tahun 2019 selepas memenangi pilihanraya kampus yang berlangsung pada 09 Januari lalu.

Kesemua mereka menerima watikah pelantikan sebagai JPP yang disampaikan oleh Pengarah KKKB, Mohd Ruzi Hamzah dalam satu majlis semalam.

Mohd Ruzi dalam ucapannya berkata, objektif kepimpinan baharu JPP ini ialah supaya dapat memberi perhatian yang serius kepada aspek kebajikan pelajar.

Menurutnya, mahasiswa perlu menjadi agen perubahan masyarakat yang sangat berpengaruh selain memainkan peranan penting dan membantu kolej komuniti mencapai visi dan misinya.

Selain itu, katanya mahasiswa juga perlu menjadi tulang belakang masyarakat dan haruslah memainkan tanggungjawab mereka kepada masyarakat setempat tidak mengira bangsa dan agama.

"Dengan kewujudan JPP 2019 ini, pelbagai program dan aktiviti yang berkualiti serta besar-besaran akan diadakan supaya semua pelajar akan melibatkan diri. Ianya akan dapat memberi impak kepada kemajuan dari segi akademik, ekonomi dan pembangunan kepada mahasiswa dan masyarakat khususnya di Pulau Pinang.

"Mahasiswa perlu berfikiran kritis. Penglibatan mahasiswa dengan masyarakat setempat adalah amat penting kerana ianya melambangkan bahawa mahasiswa amat responsif dalam isu masyarakat," katanya.

Mohd Ruzi berkata, melalui program kemasyarakatan, ianya menjadi wadah kepada mahasiswa untuk berada di medan masyarakat dan secara tidak langsung menjadikan mahasiswa lebih berkeyakinan untuk bersama masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap dengan pelantikan JPP 2019 ini, kabinet baharu JPP akan dapat memainkan peranan penting melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan pada masa sama membantu mereka yang buntu atau kurang arif dalam menguruskan apa-apa jua isu-isu pelajar dan aktiviti kerana barisan JPP ini mewakili hampir 201 orang pelajar keseluruhannya.