'Shafie tidak mahu tangguh PRN punca kes Covid-19 mendadak'

Musa Aman hari ini menulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Sabah. Gambar kecil: Mohd Shafie
Musa Aman hari ini menulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Sabah. Gambar kecil: Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini menulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan punca sebenar peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Beliau dalam surat terbukanya mahu rakyat melihat dengan jelas berhubung pembohongan dan fitnah yang didalangi jentera propaganda Warisan Plus.

"Warisan Plus wajar mengakui punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Sabah dan seluruh negara dan bukannya menyalahkan saya dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Sekiranya Warisan Plus memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, saya tidak fikir mana-mana pemimpinnya akan menyentuh isu pandemik ini," katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka, hari ini pemimpin Warisan Plus dan Pakatan Harapan (PH) termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menuding jari kepadanya.

"Mereka dengan mudah menyatakan cubaan saya menggulingkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membawa kepada PRN.

"Dalam usaha berterusan DAP untuk mengelirukan rakyat, Ahli Parlimennya, Teresa Kok berkeras menyatakan PRN Sabah berpunca daripada saya kerana cuba menggulingkan kerajaan Warisan Plus dengan membentuk 'kerajaan pintu belakang' dan seterusnya mendakwa tindakan saya sebagai 'dosa utama' yang menyebabkan peningkatan kes.

"Saya ingin mengingatkan Teresa Kok, PH dan Warisan Plus dan sesiapa saja pemimpinnya, bahawa pakatan dianggotai DAP, PKR dan Amanah yang menyokong penuh Mohd Shafie dalam menasihati TYTTYT (Tuan Yang Terutama) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membolehkan PRN diadakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Musa turut mengingatkan Ahli Parlimen Semporna itu turut menyebarkan video bahawa beliau sanggup mati daripada menyerahkan kembali kuasa kepadanya.

"Ironinya, beliau yang lebih awal merampas pentadbiran kerajaan daripada kami selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Warisan Plus dan PH perlu berhenti membohongi diri sendiri dan rakyat mengenai siapa sebenarnya kerajaan pintu belakang di Sabah.

"Mohd Shafie mendesak pilihan raya diadakan kerana menyedari beliau hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beliau sepatutnya bertindak sebagai seorang budiman.

"Bagaimanapun, beliau memilih untuk menasihati TYT supaya membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya walaupun menyedari kesan melakukannya di tengah-tengah pandemik," katanya.

Katanya, Mohd Shafie boleh memilih untuk meletak jawatan secara bertanggungjawab atau membawa Sabah ke kancah pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

"Beliau membuat pilihan yang jelas salah dan mementingkan diri sendiri. Tidak seperti Shafie, Menteri Besar dan Ketua Menteri lain bertindak secara matang dan terpuji dan mereka meletak jawatan.

"Tiada yang memilih untuk membahayakan nyawa rakyat di negeri masing-masing," katanya.

Musa berkata, sejak pilihan raya lalu, seluruh negara termasuk Sabah menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 dengan ratusan kes baharu setiap hari.

"Saya amat terkesan dengan perkembangan menyedihkan ini dan saya berpendapat beberapa penekanan mesti dibuat supaya keadaan sebenar diperjelaskan manakala rakyat boleh menilai sendiri siapa yang bertanggungjawab terhadap bencana ini.

"Saya ingin menegaskan, tiada bekas wakil rakyat yang menyatakan sokongan terhadap saya untuk membentuk kerajaan negeri pada 29 Julai lalu atau saya sendiri pernah memohon DUN dibubarkan atau pilihan raya diadakan ketika pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, tiada wakil rakyat atau dirinya mempunyai kuasa untuk meminta DUN dibubarkan.

"Pilihan raya negeri itu berpunca daripada nasihat yang salah untuk membubarkan DUN dan mengambil kira ancaman terhadap nyawa rakyat Sabah, kami mengarahkan peguam supaya memohon penangguhan pilihan raya kerana adalah berbahaya untuk mengadakan pilihan raya dalam suasana pandemik berleluasa.

"Peguam utama kami merayu dengan panjang lebar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, memohon Mahkamah membenarkan penangguhan kerana kami tidak mahu membahayakan nyawa rakyat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, peguam mewakili bekas Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah keras menentang mereka dan menyifatkannya sebagai hujah terdesak untuk menghalang pilihan raya.

"Saya menolak keras dakwaan bahawa ia adalah hujah terdesak," katanya.

Sehubungan itu, Musa berkata, Mohd Shafie perlu memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengapa peguamnya menolak permohonan penangguhan pilihan raya ketika pandemik.

"Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan daripada pentadbiran negeri terdahulu mengapa DUN dibubarkan dan PRN diadakan ketika suasana pandemik Covid-19 masih berleluasa.

"Jelas, peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 adalah berpunca daripada mereka yang menyebabkan pilihan raya dengan membubarkan DUN.

"Saya menolak keras fitnah melampau dan tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap mereka yang menyokong saya dan diri saya, kononnya kami menjadi punca peningkatan kes pandemik Covid-19 di Sabah dan seluruh negara," katanya.