Sultan Selangor dukacita rakyat bergelut Covid-19, gangguan air

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita berikutan rakyat Selangor perlu bergelut penularan wabak Covid-19 dan gangguan bekalan air pada masa sama.
Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita berikutan rakyat Selangor perlu bergelut penularan wabak Covid-19 dan gangguan bekalan air pada masa sama.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita berikutan rakyat negeri ini perlu bergelut dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan gangguan bekalan air.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, sejak 2010 Sultan Sharafuddin menulis beberapa surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air supaya tidak dipolitikkan, malah diatasi dengan segera.

Mohamad Munir berkata, surat baginda yang terkini turut dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 8 September lalu berhubung isu gangguan bekalan air berkenaan.

"Dalam surat tersebut, baginda memberi nasihat serta beberapa pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masih terus berlaku sehingga menyusahkan rakyat yang dikasihi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor Royal Office memberitahu, Sultan Sharafuddin mengutus surat kepada Amirudin bagi menzahirkan dukacita baginda terhadap impak terpaksa ditanggung rakyat negeri itu akibat pencemaran sungai.

Antara intipati surat Sultan Sharafuddin itu ialah baginda mahukan tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil termasuk merobohkan rumah, kilang haram yang berpotensi mencemarkan anak sungai dan sungai di Selangor.

Dalam pada itu, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di negeri ini.

"Baginda menyeru rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar kepada arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

Artikel Berkaitan:

"Sultan Selangor juga amat menghargai usaha doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh memberi rawatan kepada pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin turut mendapat maklumat bahawa terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP ditetapkan.

"Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam," katanya.