X

Kindly register in order to view this article
!

Tak dapat keluar kampung, lelaki hayun cangkul ke arah polis

Sebatang cangkul dirampas dari lelaki yang mengamuk di Kampung Padang Che Mas hari ini
A
A

BALING - Seorang pekerja kilang mengamuk dan cuba menghayun cangkul ke arah anggota polis apabila tidak dibenarkan keluar dari Kampung Padang Che Mas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, sebelum kejadian lelaki yang berusia 43 tahun mengambil gambar anggota di sekatan jalan raya di kampung tersebut pada jam 10.40 pagi tadi.

"Anggota polis mengekori suspek sehingga di hadapan rumahnya dan bertanya kepada lelaki berkenaan berhubung gambar tersebut.

"Dia tiba-tiba memarahi anggota polis sebelum masuk ke dalam rumahnya dan keluar sambil membawa sebatang cangkul menuju ke arah salah seorang anggota polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki itu juga cuba menghayun cangkul itu ke arah anggota itu tetapi dihalang beberapa anggota lain dan turut bergelut ketika cuba ditahan sebelum ditangkap polis di hadapan rumahnya.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu mengambil gambar anggota bertugas kerana mahu membuat aduan selepas tidak berpuas hati anggota bertugas tidak membenarkannya keluar dari kampung itu," katanya.

"Kita juga mendapati dia tidak tergolong dalam kebenaran untuk keluar seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB," katanya.

Katanya, lelaki yang sudah berkahwin itu ditahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan cangkul berkenaan turut dirampas.

"Ujian saringan air kencing negatif dan suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Dia akan dibawa untuk proses permohonan reman di mahkamah esok," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!