Empat kluster baharu Covid-19, 85 kluster aktif: Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Empat lagi kluster baharu koronavirus (Covid-19) dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 160 termasuk 85 kluster aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit ialah Kluster Bah Layangan, Kluster Alma, Kluster Auto dan Kluster Penjara Kepayan.

“Kes indeks bagi Kluster Bah Layangan (iaitu kes ke-15,654) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Labuan. Kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke daerah yang berisiko tinggi.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 142 individu telah disaring dengan 13 kes dikesan positif, 67 individu negatif dan 62 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, Kluster Alma melibatkan daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dengan kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-18,066 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 183 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 43 individu negatif manakala 133 individu masih menunggu keputusan.

"Kluster Auto pula melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat dan Klang (Selangor) serta daerah Seremban (Negeri Sembilan) dengan kes indeks (iaitu kes ke-19,354) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak sembilan kes dikesan positif Covid-19. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, kluster keempat yang dilaporkan hari ini iaitu Kluster Penjara Kepayan dikenal pasti di Kota Kinabalu dengan kes indeks positif iaitu kes ke-19,628 hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth pada 14 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mendapati 48 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 170 individu disaring dengan 49 kes dikesan positif dan 121 individu negatif," katanya. - Bernama