AFC sambut baik inisiatif MFL tingkatkan kualiti Liga Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor John Paul menyambut baik pelbagai inisiatif dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam usaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia.

Antara usaha MFL ketika ini adalah melahirkan pengadil profesional menerusi penubuhan badan bebas, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) selain berhasrat melaksanakan sistem kawalan ekonomi seperti dalam Liga Profesional Sepanyol, La Liga dalam membantu memantapkan pengurusan kewangan Liga Malaysia.

"Satu usaha yang baik bila ada perubahan atau penambahbaikan dibuat tapi ia harus dilakukan lebih serius dan perancangan teliti.

“Saya fikir bila sesuatu keputusan diambil oleh MFL, ia pasti sudah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak terbabit. Semua pihak perlu main peranan bukan sahaja MFL,” katanya dipetik dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

Menerusi penubuhan PMOM dicetuskan daripada modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL) yang mengendalikan pengadil Liga Perdana Inggeris, MFL bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengorak langkah untuk meningkatkan kualiti pengadil Malaysia yang kerap menjadi pertikaian banyak pihak.

MFL turut merancang memperkenalkan sistem kawalan ekonomi yang terbukti berjaya melangsaikan hutang kelab-kelab Sepanyol dalam tempoh lima tahun sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) sejak diperkenalkan pada 2012.

Mengulas lanjut, Windsor menegaskan pelbagai faktor perlu diambil kira dalam menjadikan sesebuah liga bola sepak menjadi profesional termasuk pengurusan, infrastruktur, pembangunan akar umbi dan kejayaan pasukan dalam liga negara berkenaan.

"Bila ada masalah, kita kena cari jalan penyelesaian. Ambil contoh kalau kita ambil peperiksaan kalau gagal, kita cari jalan untuk atasi masalah itu, pergi tuisyen ke, takkan kita nak patah balik masuk tadika semula.

Artikel Berkaitan:

“Ia satu proses dan mengambil masa tapi apa yang penting semua pihak kena serius,” tegas Windsor. - Bernama