X

Kindly register in order to view this article
!

‘Tindakan kena luar biasa’

Felda United dan PDRM adalah dua pasukan yang menduduki tangga tercorot Liga Super musim ini.
A
A

“DALAM situasi Covid-19 sekarang, kita tidak boleh lagi stereotaip lagi dalam mengendalikan Liga Malaysia (Liga-M) dengan mengambil tindakan biasa-biasa, sebaliknya kena bertindak lebih luar biasa lagi dengan situasi luar biasa akibat pandemik ini.”

Itu respons bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad yang menyifatkan cadangan pemansuhan penyingkiran pasukan CIMB Liga Super ke Liga Premier sebagai sesuatu yang tepat pada masanya.

Menurut Redzuan, situasi itu secara tidak langsung akan membuka lebih ruang kepada pemain-pemain liga utama negara itu beraksi lebih minit perlawanan dalam saingan kompetitif.

“Kita kena melihat dari sudut yang lebih luas demi kesinambungan bola sepak negara pada masa depan. Jika ada pertambahan pasukan Liga Super mulai musim depan, pemain-pemain mempunyai lebih masa untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Sebenarnya jika ditiadakan penyingkiran ke saingan Liga Premier ini pun boleh dimanfaatkan oleh setiap pasukan dengan menonjolkan barisan pemain muda masing-masing dengan perlawanan berprofil tinggi.

“Biarpun jumlah perlawanan akan bertambah, ia memberikan lebih ruang kepada pasukan masing-masing menonjolkan jenama mereka selepas semua pasukan melalui tempoh pertukaran status dari persatuan negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC),” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ditanya kemungkinan pertambahan pasukan Liga Super itu akan menjadikan saingan Liga Premier hambar kerana terdapat empat pasukan feeder, Redzuan berkata, situasi berkenaan tidak menjadi isu besar.

“Jika berlaku pengurangan pasukan Liga Premier musim depan kepada 10 pasukan, sebenarnya liga tidak hambar tetapi persaingan akan menjadi lebih sengit kerana pasukan berkurangan.

“Setiap pasukan akan mengambil serius setiap perlawanan bagi mengumpul mata maksimun untuk layak ke liga utama. Lagi pun ketiadaan penyingkiran hanya untuk saingan musim 2020.

“Jika kes Covid-19 kembali reda, MFL selaku badan pentadbir Liga-M boleh sahaja kembali menggunakan semula format asal penyingkiran, semua ini terpulang kepada kebijaksanaan MFL,” ujarnya.

Pada masa sama juga Redzuan memberitahu, jika lebih banyak pasukan bersaing di pentas Liga Super, ia secara tidak langsung memberikan lebih pilihan kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memilih barisan pemain bagi menggalas cabaran skuad kebangsaan.

“Saya percaya pertambahan pasukan Liga Super ini juga secara tidak langsung dapat membekalkan pemain-pemain terbaik kepada Cheng Hoe dan itu merupakan petanda positif kepada skuad Harimau Malaya,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!