X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah boleh berubah kerajaan lagi

A
A

BELUM pun sebulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung, kini sudah berlegar-legar cerita kononya angin perubahan berkemungkinan melanda Negeri Di Bawah Bayu itu sekali lagi berikutan pergolakan politik di Semenanjung.

Pada 26 September lalu, seramai 749,083 rakyat Sabah atau 66.61 peratus pengundi telah keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun berhadapan risiko koronavirus (Covid-19), namun demi menjalankan tanggungjawab, rakyat Sabah tetap memilih calon di kawasan masing-masing.

Seperti yang dijangka, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat namun angka jangkitan naik mendadak sebaik sahaja PRN tamat.

Angka kes baharu Covid-19 pada hari penamaan calon, iaitu pada 12 September hanyalah 24 orang di Sabah dengan jumlah keseluruhan kes baharu 58 orang di seluruh negara.

Bagaimanapun, angkanya menunjukkan kenaikan mendadak dan semalam jumlah kes baharu di Sabah mencecah 489 dengan jumlah keseluruhan kes baharu 629 orang di seluruh negara.

Selain itu, peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan pilihan raya bukannya sedikit. Dalam kesempitan dan pelbagai kekangan kewangan yang dihadapi, negara terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, peruntukan PRN Sabah ke-16 dianggarkan sebanyak RM186 juta.

Kos tersebut termasuk 30,540 petugas yang dilantik bagi mengendalikan proses PRN serta melibatkan pengurusan 741 tempat mengundi yang mengandungi 2,540 saluran dan 56 pusat mengundi awal dengan 73 saluran.

Romzi Ationg
Romzi Ationg

Boleh berubah lagi

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, terdapat kemungkinan kerajaan Sabah pun akan turut berubah sekiranya kerajaan Persekutuan bertukar.

“Pergolakan parti di Semenanjung mewujudkan ketidakstabilan politik di Sabah. Ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh beralih arah kepada parti yang membentuk kerajaan baharu.

“Saya juga percaya kemungkinan Ahli Parlimen Warisan Plus dan sebahagian Ahli Parlimen UMNO akan memberi sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin sehingga 100 peratus menyokong beliau,” katanya.

Romzi berkata, jangkaan itu berdasarkan situasi ketidakstabilan bilangan kerusi yang dimiliki oleh kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Beliau (Hajiji) disifatkan seorang pemimpin yang baik tetapi kita perlu akui, beliau berhadapan isu ketidakstabilan bilangan kerusi iaitu 38 kerusi yang angkanya boleh berubah,” katanya.

Meskipun kerajaan Warisan Plus ‘karam’ pada PRN Sabah ke-16, ia tidak menyebabkan parti itu kalah secara total, sebaliknya parti itu mencipta ‘kejayaan’ tersendiri apabila memiliki jumlah kerusi paling banyak di DUN.

Dalam perkembangan terbaru, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, beliau tidak gentar memperjuangkan hak rakyat Sabah walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan negeri.

Ekoran daripada itu, Romzi berkata, parti Warisan sebenarnya mendapat tempat di hati rakyat jika dilihat pada jumlah undi popular.

“Warisan sewajarnya masih mendapat tempat di hati rakyat namun berlaku kesilapan apabila memilih calon yang tidak popular di beberapa lokasi antaranya di DUN Matunggong dan Pitas.

“Pada PRN lalu, DUN Matunggong dimenangi Parti Bersatu Sabah selepas menewaskan calon Sazalye Donol Abdullah (PKR) manakala di DUN Pitas, calon parti Warisan tewas di tangan parti Bebas.

“Kekalahan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada jumlah kerusi yang dimenangi Warisan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi berpendapat perubahan kerajaan Sabah akibat pergolakan di Semenanjung masih terlalu awal untuk dijangka.

“Pergolakan di Semenanjung masih terlalu awal dan kita tidak tahu kesannya kepada Sabah,” katanya.

ADUN Karanaan itu merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah.

Awang Azman Awang Pawi
Awang Azman Awang Pawi

Perubahan segera

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula yakin UMNO akan terus melangkah ke hadapan dan tegas dengan pendirian untuk mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong PN dalam kerajaan Persekutuan.

Awang daripada Universiti Malaya berkata, parti itu mahu perubahan segera dan ternyata ia adalah isyarat jelas daripada Biro Politik UMNO.

“Mereka (UMNO) bukan kecil hati atau tersinggung, sebaliknya mahukan perubahan segera dan pastinya meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

“UMNO juga bukan budak-budak yang suka merajuk atau untuk dipujuk kembali. Saya berpendapat UMNO kali ini sangat tegas setelah mendengar suara akar umbi. Kerjasama yang dilihat tidak menguntungkan parti itu terutama ketika PRN Sabah baru-baru ini apabila isu pengagihan kerusi dilihat amat tidak adil.

“Jika perkara itu berulang kembali ketika pilihan raya umum akan datang, UMNO berkemungkinan akan terkubur dan tidak relevan apabila kerusi terus dikurangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk juga boleh tumbang sekiranya UMNO menarik sokongannya daripada PN.

“Pergolakan politik di Semenanjung sudah pasti akan mempengaruhi hubungan yang sudah tegang antara UMNO Sabah dan PN.

“Sekiranya UMNO benar-benar menarik diri daripada PN, maka kerajaan Sabah akan tumbang. Ini boleh membuka jalan kepada UMNO untuk bekerjasama dengan Warisan pula bagi menubuhkan kerajaan baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sekiranya Perdana Menteri yang baharu bukan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pemimpin Bersatu Sabah akan meninggalkan parti itu dan kembali kepada UMNO.

Mereka sepakat mahu menunggu keputusan UMNO terlebih dahulu sama ada benar-benar menarik diri daripada PN atau ada rundingan di sebaliknya.

Ini kerana keputusan UMNO menarik diri daripada menyokong PN akan membuka peluang kepada Anwar merealisasikan impiannya untuk membentuk kerajaan baharu dan menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Assaffal P Alian
Assaffal P Alian

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan), Assaffal P Alian percaya kedudukan Ketua Menteri GRS turut terjejas sekiranya berlaku perubahan politik di Semenanjung.

“Politik di Sabah pasti akan berubah. Bagi Warisan, kita melihat perkembangan semasa dan mengikut segala keputusan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.

Pada PRN Sabah bulan lepas, Warisan memenangi 23 kerusi sementara DAP, yang menggunakan logo Warisan, menang enam kerusi.

Secara keseluruhan, pakatan Warisan Plus, yang juga merangkumi PKR dan UPKO, memenangi 32 kerusi.

PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri menang di DUN Inanam dan Api-Api sementara hanya berjaya mengekalkan satu kerusi sahaja iaitu Kadamaian.

Sementara itu, GRS, iaitu parti gabungan yang menang, memenangi 38 kerusi. UMNO memenangi 14 kerusi sementara Bersatu mempunyai 11 kerusi.

Bakinya dimenangi oleh PBS sebanyak tujuh kerusi dan STAR memenangi enam kerusi.

Jika dilihat perbezaan kedua-dua gabungan PN dan Warisan Plus hanya berbeza enam kerusi tidak termasuk Bebas yang memenangi tiga kerusi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!