Destinasi pelancongan di Perak masih selamat dilawati

Nolee (tengah) bergambar di hadapan Rumah Makan Bawah Pasir Salak ketika Program Semarak Pelancongan Negeri Perak di Kampung Pasir Salak hari ini.
Nolee (tengah) bergambar di hadapan Rumah Makan Bawah Pasir Salak ketika Program Semarak Pelancongan Negeri Perak di Kampung Pasir Salak hari ini.
A
A
A
PASIR SALAK - Lokasi pelancongan di negeri Perak masih selamat untuk dilawati ketika ini walaupun terdapat 109 kes jangkitan koronavirus (Covid-19) direkodkan di negeri itu, setakat semalam.

Exco pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagaimanapun mengingatkan semua pihak termasuk pemain industri pelancongan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

"Kawasan bukan zon merah masih selamat, kita belum terima laporan yang mengatakan sebaliknya. Jadi, kita masih boleh meneruskan aktiviti ekonomi termasuk pelancongan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Pelancongan Perak, Eksplorasi Masjid dan Makan Bawah Rumah di sini, hari ini.

Sehingga kini, Perak mencatatkan empat kluster Covid-19 membabitkan Kluster Bah Lada di Perak Tengah dan Hilir Perak; Kluster Bah Pengkalan di daerah Hulu Perak, Kluster Batu di Taiping yang turut diisytihar sebagai zon merah dan terbaharu, Kluster Lekir di Manjung.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri komited untuk merancakkan sektor pelancongan di daerah Perak Tengah yang kaya dengan keunikan sejarah, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisi.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, sebagai contoh, pihaknya akan melihat strategi sesuai bagi meningkatkan pengunjung ke Kompleks Sejarah Pasir Salak yang ketika ini menerima kunjungan pelawat dalam skala kecil.

Tambahnya, pihaknya juga mengenal pasti Pulau Semarak sebagai kawasan yang berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu di Perak Tengah. - Bernama