X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 untuk pulih ekonomi

A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini dijangka lebih menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik Covid-19.

Ketua Jabatan Penasihat dan Penyelidik Exim Bank, Zabedah Giw berkata, kestabilan ekonomi menjadi keutamaan bagi semua pihak dalam memacu hala tuju masa depan pembangunan negara ke arah kemampanan.

“Ia perlu mengambil kira program pembangunan masa hadapan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mantap, lebih berlandaskan teknologi dan yang dapat mengurangkan risiko atau memberi impak kepada pendapatan sekiranya keadaan seperti ini (Covid-19) terjadi lagi.

“Pada masa sama, kemampanan aktiviti ekonomi juga mengambil kira inisiatif kerajaan sebelum ini, yang telah mewujudkan (program) ekonomi digital dan Industry4ward (Industri 4.0),” katanya semasa menjadi tetamu menerusi Skype bagi program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV pada Jumaat.

Ruang Bicara yang dihoskan Sherkawi Jirim itu membincangkan tajuk ‘Bajet 202 Dalam Situasi Politik dan Ekonomi Semasa’.

Zabedah berkata, komuniti perniagaan dan ekonomi itu sendiri juga perlu mempunyai model ekonomi yang jelas apabila menerima guna teknologi dalam rantaian bekalan perniagaan mereka seperti penggunaan kecerdasan buatan.

“Aspirasi ekonomi itu sendiri perlu menjurus ke arah kecemerlangan dengan ia perlu disokong menerusi penerusan dasar pendidikan sedia ada.

“Inovasi boleh berlaku secara lebih meluas dengan aplikasi teknologi, dan juga mengambil kira kualiti lepasan pengajian tinggi sekarang dan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga mengamalkan ekonomi perdagangan, yang perlu disokong dengan kapasiti pembuatan dan pengeluaran yang mencukupi dan inovatif untuk melonjakkan Malaysia ke tahap kematangan perindustrian.

“Penekanan sebelum ini bagi penggunaan Industry4ward dan pendigitalan memberi peluang untuk menerima guna contohnya pembuatan bernilai tambah tinggi ke tahap yang lebih tinggi.

“Di sini saya nampak ia lebih menjurus kepada pencapaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menaik taraf perniagaan mereka. Ia penting kerana PKS adalah lapisan perniagaan yang boleh diukur untuk menjadi juara global daripada juara tempatan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!