Tukang sapu maut nahas tiga kenderaan

Mangsa, Che Wan Mohd Noor tercampak beberapa meter daripada motosikalnya meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Mangsa, Che Wan Mohd Noor tercampak beberapa meter daripada motosikalnya meninggal dunia di lokasi kemalangan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang tukang sapu maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Kilometer 113 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di simpang masuk ke Masjid Jamek Kerteh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, Che Wan Mohd Noor Che Wan Tahir, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian mamgsa yang bekerja dengan syarikat kontraktor pembersihan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perpaduan Kerteh.

Bagaimanapun, katanya, ketika memasuki simpang, motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang mangsa dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan.

"Kereta itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri motosikal mangsa menyebabkan warga emas itu tercampak beberapa meter ke bahu kiri jalan.

"Pada masa sama seorang wanita yang berada di belakang kereta itu dan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ tidak sempat mengelak lalu melanggar lereta terbabit," katanya.

Mohd Said berkata, berikutan itu wanita berusia 25 tahun berkenaan turut tercampak ke atas jalan raya dan cedera pada rahang dan mulut.

Menurutnya, pasukan paramedik ambulans Klinik Kesihatan Kerteh yang tiba tidak lama kemudian di lokasi mengesahkan Che Wan Mohd Noor sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama dan keadaannya dilaporkan stabil.

Namun, kata Mohd Said, sehingga lewat petang ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada pemandu kereta terbabit.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan itu turut tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang menarik perhatian pengguna sosial kerana kereta itu didakwa melarikan diri sejurus kemalangan.