Kes bunuh bakar: Dalam rumah ada basikal kecil

Kelihatan sebuah kereta warna perak serta sebuah skuter putih selain basikal kecil di dalam gril kediaman itu.
Kelihatan sebuah kereta warna perak serta sebuah skuter putih selain basikal kecil di dalam gril kediaman itu.
A
A
A

SEPANG - Penemuan dua mayat di sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang kemarin terus mendapat perhatian umum selepas polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati rumah berkenaan berkunci selain pagar rumah dililit garisan kuning bomba.

Di hadapan rumah teres satu tingkat itu, kelihatan sebuah kereta warna perak serta sebuah skuter putih selain basikal kecil di dalam gril kediaman itu.

Wartawan juga cuba mendapatkan komen jiran-jiran terdekat namun beberapa jiran yang ditemui memaklumkan mereka tidak mengenali pasangan itu malah ada yang tidak pernah melihat mangsa.

Seorang jiran yang enggan namanya disiarkan berkata, memang kebanyakan jiran tidak tahu pergerakan pasangan itu.

“Kami jarang melihat mereka dan mereka tidak pernah terlibat dalam komuniti di sini.

“Selepas laporan menyatakan menyatakan kes diklasifikasikan kes bunuh, kami agak terkejut dan timbul juga rasa kurang selesa dan risau," katanya.

Sementara itu, seorang jiran yang hanya mahu dikenali Jefri berkata, pasangan itu baharu menetap di kawasan berkenaan dan mereka jarang dilihat kerana kedua-dua bekerja dan keluar pada awal pagi serta pulang lewat petang.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya mengetahui mengenai kebakaran yang berlaku selepas melihat kenderaan bomba di hadapan rumah mangsa," ujarnya.

Polis mengesahkan, dua individu yang ditemui maut itu bakal berkahwin Jumaat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mangsa lelaki merupakan seorang duda dan mempunyai tiga anak.

"Bedah siasat terhadap mangsa lelaki mendapati dia maut kerana lemas akibat asap kebakaran manakala bedah siasat terhadap mangsa wanita terdapat kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul," katanya.

Semalam, polis mengklasifikasikan semula kematian Norwahidah Abdul Hamid, 28, dan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, sebagai kes bunuh.

Dalam kejadian jam 1.13 tengah hari itu, mangsa wanita ditemui di atas katil sebuah bilik manakala mangsa lelaki ditemui dalam bilik air.

Jenazah kedua-dua mangsa yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Jenazah Wan Mohd Baharul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang, Hulu Besut Terengganu kira-kira jam 8.50 pagi tadi manakala jenazah Norwahidah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah Ayer Hitam Kampung Jerlun, Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: