Kes bunuh, bakar: Mangsa bakal berkahwin Jumaat ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu yang ditemui maut dalam sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, kelmarin, bakal berkahwin Jumaat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mangsa lelaki merupakan seorang duda dan mempunyai tiga anak.

"Bedah siasat terhadap mangsa lelaki mendapati dia maut kerana lemas akibat asap kebakaran," katanya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut terbakar diklasifikasi sebagai kes bunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah suami, isteri mangsa bunuh dikebumikan

Fadzil berkata, polis juga mempunyai petunjuk baharu bagi merungkai misteri kematian mangsa.

Katanya, maklumat itu diperolehi daripada siasatan kali kedua di lokasi kejadian.

"Namun hasil siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum," katanya.

Beliau berkata, polis juga akan memanggil beberapa lagi individu untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, polis mengklasifikasikan semula kematian dua mangsa Norwahidah Abdul Hamid, 28, dan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dalam kebakaran di sebuah rumah teres berkenaan sebagai kes bunuh.

Dalam kejadian jam 1.13 tengah hari itu, mangsa wanita ditemui di atas katil sebuah bilik manakala mangsa lelaki ditemui dalam bilik air.

Jenazah kedua-dua mangsa yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Jenazah Wan Mohd Baharul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang, Hulu Besut Terengganu kira-kira jam 8.50 pagi tadi manakala jenazah Norwahidah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah Ayer Hitam Kampung Jerlun, Kedah.