Pusat Pakaian Hari-Hari jadi penaja utama NCBL

Amirudin (tengah) menyaksikan Syed Mohamad (kanan) bersama Pengurus MVP Marketing & Event, Wong Wing Mai (kiri) menandatangani MoU dalam majlis berlangsung di Shah Alam semalam.
Amirudin (tengah) menyaksikan Syed Mohamad (kanan) bersama Pengurus MVP Marketing & Event, Wong Wing Mai (kiri) menandatangani MoU dalam majlis berlangsung di Shah Alam semalam.
A
A
A

PUSAT Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd sekali lagi menjadi penaja utama bagi Kejohanan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) untuk tahun keempat berturut-turut.

Difahamkan, penganjuran NCBL pada musim hadapan akan berlangsung pada 9 Januari 2021 melibatkan tiga lokasi iaitu Universiti UCSI, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwong Hon dan Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd, Syed Mohammad Sani Syed Kamarullbahrim berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat bersama-sama bagi memberikan sokongan kepada NCBL untuk mengembangkan lagi sukan bola keranjang di negara ini.

“Saya harap liga ini dapat menjadi platform pengembangan pemain khususnya dalam sukan bola keranjang di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menerusi kerjasama ini, Pusat Pakaian Hari-Hari akan menjadi penaja utama dengan tajaan bernilai RM60,000 untuk tempoh dua tahun bagi penganjuran NCBL.

Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya dimaklumkan penganjuran NCBL sejak kira-kira 15 tahun lalu telah menunjukkan pencapaian baik apabila semakin banyak pasukan turut serta dalam kejohanan berkenaan.

“Pada permulaan penganjuran, saya difahamkan hanya lapan pasukan menyertai kejohanan ini, namun untuk tahun hadapan ada sekitar 130 pasukan turut sama dan ini adalah satu pencapaian baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya berharap tajaan beberapa pihak dalam kejohanan itu akan terus menyegarkan sukan berkenaan yang sebelum ini dianggap hanya untuk kelompok dan komuniti tertentu sahaja.