Sila log masuk terlebih dahulu.

16 positif Covid-19, kes harian tertinggi di Perak

Perak merekodkan kes harian tertinggi positif koronavirus (Covid-19), hari ini iaitu 16 kes sejak gelombang ketiga pandemik itu melanda negara, September lalu. - Foto Bernama
Perak merekodkan kes harian tertinggi positif koronavirus (Covid-19), hari ini iaitu 16 kes sejak gelombang ketiga pandemik itu melanda negara, September lalu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan kes harian tertinggi positif koronavirus (Covid-19), hari ini iaitu 16 kes sejak gelombang ketiga pandemik itu melanda negara, September lalu.

Kesemua kes yang direkodkan dikesan dalam kluster berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok dari sebuah kem tahanan di Taiping.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, daripada jumlah itu, 15 kes adalah membabitkan tahanan lelaki warga tempatan berusia antara 50 hingga 60 tahun.

Menurutnya, mereka ini telah menjalani saringan Covid-19 pada 3 Oktober lalu sebagai kontak rapat kepada satu kes positif yang mempunyai sejarah pergerakan ke Penjara Alor Setar pada 27 dan 28 September.

"Mereka ini berada di pusat tahanan sepanjang tempoh 14 hari lepas dan mula mengalami gejala demam pada 10 Oktober. Keputusan ujian RT-PCR ke-2 pada 12 Oktober kemudiannya menunjukkan kes adalah positif Covid-19," katanya.

Bagi kes ke-16 pula membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun iaitu kakitangan yang bertugas di pusat tahanan terbabit.

Katanya, individu berkenaan bertugas di klinik di dalam pusat tahanan itu dan mempunyai sejarah pendedahan kepada tiga orang tahanan yang disahkan sebagai kes Covid-19.

"Kes-kes ini adalah kes jangkitan tempatan dan kesemua mereka telah diasingkan serta dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pengesanan kontak sedang dijalankan dan kita turut melakukan saringan secara berterusan bagi pengesanan awal jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti," katanya.

Penularan wabak bagi Kluster Tembok menjadikan daerah Larut Matang Selama (LMS) mencatatkan jumlah kes semasa tertinggi iaitu 32 kes sejak 30 September lalu.

Semalam, enam sekolah dalam daerah itu ditutup selama seminggu sehingga 18 Oktober ini selepas terdapat kes positif membabitkan guru dan murid.

Rekod kes baharu di Perak bagi Oktober

2 Oktober: 3 kes

4 Oktober: 2 kes

5 Oktober: 2 kes

6 Oktober: 8 kes

7 Oktober: 4 kes

8 Oktober: 5 kes

9 Oktober: 1 kes

10 Oktober: 2 kes

11 Oktober: 1 kes

12 Oktober: 4 kes

13 Oktober: 16 kes