Projek terowong dasar laut belum muktamad

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang belum memuktamadkan pelaksanaan pembinaan projek terowong dasar laut yang dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, pertimbangan akan dibuat selepas hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut dimuktamadkan oleh pihak konsesi projek, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).

Perkara itu diumumkan Zairil bagi menjawab soalan bertulis Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung kewujudan projek terowong dasar laut itu serta agensi yang memberi kebenaran untuk diluluskan.

Zairil (DAP- Tanjung Bungah) berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab meneliti dan meluluskan laporan kajian impak alam sekitar (EIA).

"Sebagai syarikat konsesi projek itu, CZC telah mengemukakan draf laporan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan pada 6 September tahun lalu kepada kerajaan negeri setelah diteliti oleh pihak jurutera perunding bebas (ICE) yang dilantik kerajaan negeri.

"Draf laporan itu kini sedang ditambah baik berdasarkan ulasan yang diterima oleh pelbagai pihak berkepentingan selain sedang dipantau oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Kerajaan Negeri dalam beberapa mesyuarat sejak November 2019," katanya.

Beliau berkata, CZC juga dijangka memuktamadkan laporan kajian kebolehlaksanaan tersebut dalam suku keempat tahun ini.

"Sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan projek terowong dasar laut berdasarkan hasil laporan kajian kebolehlaksanaan, laporan kajian impak alam sekitar (EIA) akan disediakan untuk penilaian dan kelulusan JAS.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, tiada keperluan untuk mengemukakan permohonan EIA sehingga laporan kajian kebolehlaksanaan dimuktamadkan oleh pihak CZC," katanya.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.