Tahanan POCA ditahan curi lori sampah

Agus (dua dari kanan) menunjukkan lori sampah yang dicuri suspek dalam kejadian di Taman Berjaya di sini, Jumaat lalu.
Agus (dua dari kanan) menunjukkan lori sampah yang dicuri suspek dalam kejadian di Taman Berjaya di sini, Jumaat lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki yang sedang menjalani perintah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 ditahan selepas dipercayai mencuri sebuah lori milik syarikat pengurusan kutipan sampah dalam kejadian di Taman Berjaya di sini Jumaat lalu.

Suspek berusia 46 tahun yang ketika ini masih menjalani perintah pengawasan di Setiawan, Perak memiliki 42 rekod jenayah lampau termasuk 22 kes curi lori.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kegiatan yang dilakukan oleh lelaki berasal dari Johor itu disedari pihak pengurusan sampah kira-kira jam 3.30 pagi.

"Suspek dipercayai menanggalkan GPS (sistem pengesanan lokasi) bagi mengelakkan kegiatannya dihidu syarikat terbabit selain menanggalkan tong roro yang ditinggalkan di tepi jalan di sebuah kampung di Teluk Intan, Perak.

"Pihak pengurusan syarikat memaklumkan terdapat pergerakan lori yang kali terakhir dikesan melalui GPS di Jambatan Sungai Nira, Sabak Bernam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Agus Salim berkata, hasil maklumat awam, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Murni, Setiawan Perak kira-kira jam 5 petang hari sama.

"Selain suspek, polis turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 17 hingga 38 tahun di rumah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan terhadap semua suspek menemui pelbagai barangan dipercayai hasil curi dan peralatan untuk melakukan jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis turut menemui lori bernilai RM70, 000 itu di Taman Raja Muda Musa, Setiawan Perak.

"Suspek sehingga kini masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.