X

Kindly register in order to view this article
!

Empat sekolah di Kedah ditutup

SMK Bukit Payong antara empat buah sekolah yang ditutup di daerah Baling dan Pokok Sena, Kedah bermula hari ini sehingga 17 Oktober. Gambar kecil: Najmi Ahmad
A
A

ALOR SETAR - Empat buah sekolah di Kedah ditutup bermula hari ini sehingga 17 Oktober susulan penularan kes positif koronavirus (Covid-19).

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, ia membabitkan dua buah sekolah masing-masing di daerah Baling dan Pokok Sena.

Menurutnya, sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor, SMK Baling, SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau.

“Penutupan sekolah itu dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, dan surat pemakluman diserahkan kepada pentadbiran sekolah masing-masing, hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najmi berkata, semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana menjalani kuarantin di rumah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Difahamkan penutupan itu dibuat susulan terdapat guru dan murid disahkan positif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Menurutnya, tujuan penutupan sekolah adalah untuk melakukan proses saringan melibatkan semua murid, guru dan tenaga kerja sekolah yang menjadi kontak rapat.

“Proses nyah kuman atau sanitasi juga akan dilakukan di sekitar kawasan sekolah terbabit,” katanya.

Setakat semalam, Kedah mencatatkan 1,298 kes aktif Covid-19 dengan 27 kes baharu, antaranya membabitkan Kluster Tembok di Kota Setar dan Pokok Sena serta Kluster Tawar di Baling.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!