Dr Noor Hisham pesan jaga kesihatan mental, elak stigma

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasakan diri dengan penjagaan kesihatan mental dan menangani stigma terhadap penyakit mental.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesihatan mental setiap orang boleh terkesan dengan pelbagai cara terutama dalam keadaan negara yang sedang bergelut mendepani cabaran pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, amat penting untuk masyarakat mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti gejala awal masalah kesihatan mental dan kemurungan supaya bantuan dapat diberikan melalui program ‘Let’s TALK Minda Sihat’ Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mulakan dengan bercakap dengan seseorang yang dipercayai iaitu T - Tell someone you trust about your problem (kongsi masalah dengan orang yang dipercayai); A - Ask for Help (minta bantuan); L - Listen without judgment (dengar tanpa menghukum atau menghakimi) dan K - Know where to seek help (tahu di mana untuk dapatkan bantuan).

“Jangan stigmakan penyakit ini sebaliknya kita perlu membantu orang yang kita sayang atau orang sekeliling untuk tampil mendapatkan bantuan bagi permasalahan yang dihadapi,” katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Katanya, KKM turut menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) selain talian sokongan bagi membantu masyarakat termasuk petugas barisan hadapan yang memerlukan perkhidmatan bantuan awal psikologi.

"KKM akan terus bekerjasama dengan agensi lain seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy), KSK- Care Jakim, Talian KASIH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan perkhidmatan sokongan psikososial yang bersepadu," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: