X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Batu Sapi: BN Sabah sokong keputusan pucuk pimpinan

Bung Moktar Radin
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong keputusan pucuk pimpinan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu sudah pun dibincangkan di peringkat BN negeri dan sebelum ini turut mengambil keputusan sama.

"BN Sabah menghormati dan menyokong keputusan itu memandangkan Sabah ketika ini berhadapan dengan gelombang Covid-19 yang angkanya semakin meningkat dan membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pilihan raya harus dielakkan kerana jika diadakan juga akan menyebabkan wabak itu menular seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

"Fokus kerajaan negeri ketika ini adalah membendung wabak virus Covid-19 daripada terus menular.

"Adalah lebih baik bagi kerajaan negeri dan BN beri tumpuan untuk membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang belum berkesudahan ini," katanya.

Katanya, sudah tiba masanya ahli politik di negeri ini melangkaui sempadan parti untuk bersolidariti bersama tanpa mengira fahaman politik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

"Ini bukan masanya untuk menuding jari antara satu sama lain berhubung punca peningkatan kes Covid -19, perkara ini adalah musibah yang perlu ditangani bersama tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Khamis lalu, Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan bahawa BN mengambil keputusan untuk tidak bertanding di PRK Batu Sapi bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di Sabah.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: BN tidak bertanding di PRK Batu Sapi

Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

Terdahulu, Bung Moktar turut memaklumkan, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi membasmi penularan Covid-19 selain membantu rakyat yang terjejas di negeri ini menerusi satu mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor baru-baru ini.

Katanya, sebanyak RM10 juta daripada dana itu digunakan untuk sumbangan bakul berisi makanan asas kepada penduduk di empat daerah iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang kini diisytiharkan sebagai zon merah.

"Kerajaan akan menyalurkan bantuan makanan kepada semua penduduk di daerah yang terjejas," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!