Jokowi pertahan Undang-undang Cipta Kerja

Pasukan polis antirusuhan dibaling bom molotov cocktail ketika tunjuk perasaan ganas di Bandung kelmarin. - Foto AFP
Pasukan polis antirusuhan dibaling bom molotov cocktail ketika tunjuk perasaan ganas di Bandung kelmarin. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi hari ini mempertahankan Undang-undang Omnibus, Undang-undang Cipta Kerja yang dibantah banyak pihak hingga mencetuskan protes ganas kerana didakwa akan menjejaskan hak perlindungan pekerja.

Menurutnya, negara itu memerlukan undang-undang tersebut untuk meningkatkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta penganggur yang terkesan dengan krisis ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya melihat protes itu disebabkan oleh penyebaran maklumat salah kepada orang ramai," ujarnya.

Jokowi juga menggesa pengkritik supaya mencabar undang-undang tersebut di Mahkamah Perlembagaan jika mereka tidak bersetuju dengan kandungannya.

Sejak awal minggu lalu, Indonesia dicemari siri protes ganas yang membantah undang-undang baharu kontroversi yang didakwa akan memberi kesan kepada hak pekerja dan perlindungan alam sekitar tanpa menghiraukan ancaman pandemik Covid-19.

Puluhan ribu penunjuk perasaan termasuk mahasiswa menyertai demonstrasi tersebut di kebanyakan bandar besar kerana menolak Undang-Undang Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lalu bertujuan menarik pelabur asing.

Pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Jakarta. Protes besar-besaran tersebut tercetus kerana membantah Undang-Undang Cipta Kerja yang didakwa menindas golongan pekerja. - Foto AFP
Pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Jakarta. Protes besar-besaran tersebut tercetus kerana membantah Undang-Undang Cipta Kerja yang didakwa menindas golongan pekerja. - Foto AFP

Ia turut dibantah aktivis buruh dan kumpulan pencinta alam sekitar malah pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International berpusat di London, United Kingdom (UK) menyifatkannya sebagai ‘bencana’ kepada golongan pekerja.

Artikel Berkaitan:

Majoriti membantah undang-undang Omnibus itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.

Antara lain, undang-undang baharu itu membenarkan syarikat menggaji pekerja secara kontrak terbuka atau tanpa sebarang tempoh khusus tetapi memberikan perlindungan insurans bagi pekerja sektor awam.

Protes yang berlarutan selama empat hari sehingga semalam menyaksikan hampir 13,000 anggota polis terpaksa dikerah di tengah Jakarta, namun ia masih gagal menghalang kemaraan kumpulan penunjuk perasaan tersebut.

Situasi semakin tegang apabila segelintir peserta protes membakar balai polis dan memusnahkan harta benda awam hingga menyebabkan asap tebal menyelubungi sekitar ibu negara.

Sebahagiannya bertindak semakin ganas apabila mereka mula melemparkan batu bata dan serpihan konkrit ke arah anggota keselamatan.

Pihak berkuasa kemudian melepaskan gas pemedih mata selepas kumpulan terbabit semakin mara berhampiran Istana Presiden di Jakarta.

Gesa mansuh

Jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus berkata, lebih 3,800 penunjuk perasaan telah ditahan sehingga kelmarin dan ratusan yang lain turut cedera.

Bagaimanapun kebanyakan mereka dibebaskan menjelang semalam selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan kira-kira 145 individu menunjukkan keputusan reaktif dan akan diasingkan untuk menjalani sekali lagi ujian saringan.

Selain mengadakan protes jalanan, rakyat negara itu turut menggunakan media sosial untuk menzahirkan kemarahan mereka terhadap Undang-Undang Cipta Kerja tersebut.

Kumpulan penggodam didakwa menyekat akses ke laman web Parlimen dan turut mengubah namanya kepada ‘Majlis Pengkhianat’ serta mencipta akaun pada platform e-dagang, Tokopedia dan ‘mengiklankan Parlimen untuk dijual dengan harga murah’.

Difahamkan, pertubuhan Islam di negara itu bersedia untuk mencabar undang-undang tersebut di mahkamah malah ia turut ditentang beberapa pemimpin wilayah.

Peserta protes membaling batu bata dan serpihan konkrit kepada anggota keselamatan di Tangerang. - Foto AFP
Peserta protes membaling batu bata dan serpihan konkrit kepada anggota keselamatan di Tangerang. - Foto AFP

Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI), antara pihak yang menganjurkan mogok selama tiga hari berakhir kelmarin, dilaporkan bersiap sedia untuk mengemukakan kes itu ke Mahkamah Perlembagaan. Kumpulan Muslim terbesar, Nahdlatul Ulama yang mempunyai jutaan pengikut juga akan mengambil tindakan sama.

Ketegangan yang semakin meningkat menyebabkan lima pemimpin wilayah termasuk Gabenor Jakarta, Anies Baswedan memaklumkan mereka akan mengemukakan tuntutan kumpulan demonstrasi tersebut kepada Jokowi.

“Saya telah bertemu dengan kumpulan penunjuk.

“Saya memberitahu mereka bahawa kami telah mendengar suara kumpulan itu dan akan menyampaikan mesej golongan terbabit,” katanya tanpa mengesahkan sama ada beliau juga senada dengan kumpulan protes terbabit.

Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji berkata, langkah memansuhkan Undang-Undang Cipta Kerja itu akan meredakan kemarahan penunjuk perasaan.

“Krisis ini boleh menimbulkan ketidakstabilan yang berpanjangan dengan ancaman pandemik yang semakin membimbangkan,” ujarnya. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Protes mega bantah Undang-undang Cipta Kerja di Indonesia