Pelantikan Aliakbar: Pas mahu semua pihak 'teroka' jalan damai

Pas mahu semua pihak meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati antara pelbagai kaum, etnik, agama dan adat resam di Sabah.
Pas mahu semua pihak meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati antara pelbagai kaum, etnik, agama dan adat resam di Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mahu semua pihak meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati antara pelbagai kaum, etnik, agama dan adat resam di Sabah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu percaya ia sebagai tanggungjawab dan komited kepada pembinaan sebuah negara yang harmoni, maju dan bersatu padu.

"Pas percaya sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab dan komited kepada pembinaan negara yang harmoni, maju dan bersatu padu, semua pihak perlu meneroka jalan damai.

"Saling menerima serta hormat menghormati di antara semua pihak yang tergolong dari pelbagai kaum, etnik, agama, budaya dan adat resam di negeri Sabah iní," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Kenyataan dibuat dipercayai sebagai mengulas rasa kurang senang parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakhbar Gulasan menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Terdahulu Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyertai GRS untuk mengalahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menyuarakan bantahan parti itu terhadap langkah berkenaan.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula menyifatkan penyertaan Pas dalam DUN Sabah sebagai sesuatu yang 'malang', namun menyifatkan sebagai anak jati, Aliakbar memahami realiti Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Pas Sabah disenarai ADUN

Artikel Berkaitan:

Lantikan Aliakbar bakal undang kritikan pembangkang

Takiyuddin berkata, Pas berbesar hati dengan sikap terbuka PBS dan STAR kerana bersedia memberi peluang kepada Aliakbar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Katanya, Pas amat yakin Setiausaha Pas Sabah itu merupakan anak jati negeri berkenaan yang mempunyai kelulusan tinggi serta berpengalaman luas sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah.

Menurut Takiyuddin, Aliakbar mampu menyumbang tenaga dan buah fikirannya mewakili Perikatan Nasional dalam kerajaan Sabah di bawah kepimpinan kerajaan GRS.

"Pas berpandangan bahawa tugas utama kerajaan GRS sekarang ialah mengembalikan keyakinan rakyat kepada usaha memulihkan keadaan termasuk menguruskan penularan semula pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi dan sosial rakyat," katanya.