BN tidak bertanding di PRK Batu Sapi

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri berkenaan.

"BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi. Keputusan ini dibuat kerana BN merasakan Covid-19 hendaklah dielakkan dari menular, sekiranya PRK diadakan sebagaimana dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian.

"Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan," katanya.

Terdahulu, SPR dalam kenyataan medianya pada Selasa lalu telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Selasa depan untuk membincangkan tarikh penting berhubung PRK itu nanti.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

YDP Dewan Rakyat kemuka surat arah isi kekosongan Parlimen Batu Sapi