Lantikan Aliakbar bakal undang kritikan pembangkang

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dilihat bakal mengundang kritikan dan ejekan daripada pihak pembangkang.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, barisan Kabinet yang baharu itu adalah satu kombinasi antara pemimpin baharu dan lama akan membawa Sabah kembali sebagai negeri yang sejahtera.

"Namun pelantikan Aliakbar sebagai salah seorang daripada enam ADUN dilantik akan menyebabkan kerajaan yang baharu dibentuk dikritik oleh pihak pembangkang.

"STAR tetap kekal pada prinsip bahawa mana-mana parti yang tidak sesuai dengan kepelbagaian nilai budaya dan sensitiviti harus ditolak," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Pas sebelum ini beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang mengecewakan dan sentimen di Sabah yang mempunyai kepelbagaian budaya serta agama.

"Rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik untuk mengajar mereka mengenai perpaduan antara agama. Sabah adalah contoh penyatuan pelbagai agama sama seperti Sarawak.

"Namun kenyataan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap keperibadian Aliakbar dan saya tahu bahawa beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin Pas baru-baru ini berhubung kitab Injil di Parlimen.

"Komen itu amat menyinggung perasaan orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Aliakbar sebagai rakyat negeri ini amat dekat dengan realiti di Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Jeffrey turut menekankan bahawa pelantikan ADUN itu adalah hak Ketua Menteri dan Aliakbar adalah ADUN yang dilantik tanpa menjawat jawatan menteri.

"Beliau belum dilantik sebagai Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah seperti yang dikatakan oleh DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Oleh itu, saya menggesa semua anggota STAR dan masyarakat supaya tenang dan tidak menyerah pada ejekan dan penghinaan yang dilemparkan oleh pihak lawan. Bermain politik sepanjang masa tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya.

Terdahulu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelantikan speaker Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan barisan Kabinet negeri yang mengangkat sumpah hari ini.

"STAR mempunyai seorang menteri iaitu Datuk Ellron Angin dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Flovia Ng dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

"Saya juga mengalu-alukan pelantikan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee yang turut disenaraikan sebagai ADUN dilantik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Pas Sabah disenarai ADUN<

24 terima watikah di Istana Negeri