Industri, aktiviti ekonomi di Klang boleh beroperasi

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di daerah Klang beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di daerah itu dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP bagi menjamin keselamatan pekerja dan rakyat di daerah itu.

"Kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan serta protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing sejak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.

"Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau turut melaporkan kepada sidang MKN mengenai perbincangan bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berhubung situasi kesihatan di daerah Klang dan langkah-langkah proaktif yang telah dilaksanakan oleh mereka untuk membendung penularan Covid-19 di Selangor.

Katanya, sidang MKN juga telah memberi perhatian dan mengambil maklum tentang perkembangan dan situasi semasa termasuk maklum balas yang diterima daripada persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan tempatan serta antarabangsa.

"Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara.

Artikel Berkaitan:

"Daripada aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara," katanya.