Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara dilancar pada LIMA'23

Mohamad ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Mohamad ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) akan dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, DIPKN adalah satu dasar penting kepada industri pertahanan yang mempunyai potensi baik untuk dikembangkan selain satu rang undang-undang berkaitan industri pertahanan akan dibentangkan di Parlimen.

"Industri pertahanan ini amat besar, (berjumlah) berbilion ringgit...jadi jika kita boleh jayakan dengan baik, diatur, diurus dengan baik dan ada akta, maka kementerian yakin Malaysia boleh menjadi negara pengeluar aset pertahanan.

"Ketika ini situasinya masing-masing buat hal sendiri. Jadi industri ini tidak akan ke mana-mana. Banyak negara seperti Indonesia, Turkiye, Thailand, UAE (Emiriah Arab Bersatu) dah ada dasar mereka, ada agensi yang dikawal selia kerajaan (dan) sebab itu industri mereka berkembang dan maju,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin tahu sama ada industri pertahanan negara terutama industri tempatan mampu menghasikan dron sendiri pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, pada Selasa.

Mohamad berkata, menerusi pelancaran DIPKN juga, selain membantu industri pertahanan untuk lebih sistematik, ia turut akan menjadi penggalak kepada pembangunan ekonomi negara.

"Sejak tahun 80-an lagi berbilion duit kerajaan (dilaburkan) atas industri pertahanan tapi tak diurus (dengan) baik... orang industri dapat untung dalam sektor pertahanan tapi dilabur ke tempat lain, jadi pemaju dan sebagainya.

"Jadi bila ada dasar, ada akta, kita akan tetapkan keuntungan daripada industri itu 30 hingga 40 peratus daripadanya mestilah deploy back kepada industri bagi tujuan R&D (penyelidikan dan pembangunan),” katanya.

DIPKN yang akan dilancarkan adalah usaha berterusan kerajaan untuk menyokong perkembangan industri pertahanan negara. - Bernama