Najib bidas pendirian PH dalam projek ECRL

Paparan Facebook Najib.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ternyata kurang senang dengan pendirian berubah-ubah PH melibatkan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, rakyat dan pelabur ‘pening’ dengan keputusan kerajaan yang acap kali berubah malah menyindir ‘kisah ECRL’ mengalahkan sinetron Indonesia.

“Sekejap hantar surat rasmi menteri untuk batal ECRL. Lalu Menteri lain umum ECRL sudah batal.

“Sekejap Menteri yang keluarkan surat pembatalan pula kata belum batal. Lalu Menteri lain kata tak pasti sudah batal atau tidak.

“Sebentar lagi kita dipanggil untuk tunggu Guan Eng (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) umum keputusan batal atau tidak. Keesokan hari, Guan Eng pula kata dia telah disuruh untuk jangan umum keputusan,” tulisnya dalam laman Facebook beliau.

Tambah beliau, kerajaan juga pernah mengatakan Malaysia akan miskin jika ECRL diteruskan, lebih baik bayar pampasan serta hentikan projek namun selepas itu, muncul pula kenyataan belum ada keputusan untuk batalkan projek itu.

“Walaupun PH sering tuduh kos RM55 bilion ECRL melebihi harga pasaran dan mendakwa harga sebenar projek itu hanya RM30 bilion, mereka tidak pernah memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.

“Saya pernah bertanya PH sekurang-kurangnya 10 kali untuk mendedahkan mana-mana laporan yang menyebut kos ECRL hanya RM30 bilion.

“Saya juga meminta PH mengeluarkan laporan kebolehlaksanaan ECRL yang menunjukkan projek itu untung untuk negara namun tidak pernah sekalipun PH menjawab,” tegas beliau.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu turut menempelak PH kerana berani buat tuduhan tetapi tidak jujur untuk buktikan tuduhan meskipun segala laporan dan perjanjian sudah ada pada mereka.

Jelas Najib lagi, sebenarnya angka RM30 bilion itu adalah kajian dibuat pada 2009 dan untuk jarak 545 kilometer sahaja.

“Ia tidak sama dengan projek ECRL yang dianugerah tujuh tahun kemudian pada tahun 2016 yang panjangnya 688 kilometer dengan jajaran yang berbeza, jumlah stesen yang lebih banyak dan skop yang berlainan,” ujarnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia