X

Kindly register in order to view this article
!

Bantahan penduduk Bukit Antarabangsa

Kejadian pokok jatuh terkena kenderaan awam minggu lalu didakwa disebabkan oleh kerja-kerja yang telah dimulakan di tapak projek tersebut.
A
A

HULU KLANG - Bukit Antarabangsa Task Force 850 (BATF 850) menuntut penjelasan pihak berwajib dan kerajaan berhubung status projek Lot 850 Batu 6 1⁄4 Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak yang dibantah sejak tahun 2016.

Pengerusinya, Datuk Albakri Ali berkata, tanpa sebarang pemakluman rasmi, pihaknya mendapati kerja-kerja projek itu terletak bersebelahan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah dimulakan di tapak berkenaan.

Katanya, difahamkan projek tersebut digantung sementara berdasarkan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terakhir pada 18 Ogos 2016 di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang disertai jawatankuasa bagi meneliti bantahan yang dibuat.

“Sehingga kini, tiada sebarang pemakluman rasmi diberikan kepada kami sehinggalah kami mendapati terdapat papan tanda projek dinaikkan pada tahun ini.

“Surat tersebut dihantar kepada MPAJ dan Menteri Besar Selangor pada Mac lalu untuk tuntut penjelasan, namun tiada maklum balas diberikan sehingga kini.

“Kerja-kerja projek telah dimulakan apabila jentera mula memotong pokok-pokok di tapak berkenaan. Baru-baru ini terjadi insiden pokok terkena kereta orang awam disebabkan kerja-kerja yang dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

BATF 850 merupakan sebuah badan bertindak yang mewakili 30 buah taman perumahan di sekeliling kawasan Bukit Antarabangsa bertujuan melindungi kepentingan dan kebajikan penduduk di situ.

Bantahan terhadap projek yang mengandungi dua blok kondominium 41 tingkat itu dibuat ekoran kebimbangan penduduk terhadap kawasan projek yang berisiko, dan tidak mahu tragedi bangunan dan tanah runtuh yang pernah berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa berulang.

Berdasarkan info pada papan tanda projek, kelulusan pembangunan dinyatakan bertarikh 11 Julai 2020, manakala kelulusan pelan kerja tanah adalah bertarikh 22 November 2019.

Tarikh projek bermula 22 Jun 2020 dan akan tamat pada 5 Julai 2021.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, projek tersebut tidak sepatutnya diluluskan kerana ia melibatkan kawasan yang berisiko.

Katanya, bantahan yang dikemukakan penduduk adalah berasas kerana banyak kes yang telah berlaku sebelum ini.

“Berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang ini, nampaknya bantahan penduduk langsung tidak diendahkan.

"Saya sarankan agar penduduk teruskan dengan tindakan undang-undang kerana pihak berwajib nampaknya tidak mahu mendengar bantahan mereka yang telah dibuat melalui saluran sewajarnya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!