Enrique cabar Arrizabalaga bukti kemampuan

Kepa Arrizabalaga
Kepa Arrizabalaga
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique mencabar Kepa Arrizabalaga untuk merampas kembali status penjaga gol nombor satu Chelsea dengan membuktikan keupayaan sebenarnya bersama La Roja.

Menurut bekas pengendali Barcelona berusia 50 tahun itu, Arrizabalaga pada ketika ini perlu melihat kemelut prestasi yang melandanya sebagai satu cabaran positif.

“Arrizabalaga sebenarnya tidak berada dalam situasi yang baik sejak kebelakangan ini berdasarkan prestasi bersama Chelsea tetapi ini bukan akhir dunia.

“Secara jujur dalam karier seorang pemain akan ada masa baik dan buruk apabila berkait dengan prestasi itu realiti sebenar pada masa kini.

“Biarpun begitu pada saya ini adalah masa yang ideal bagi Arrizabalaga bangkit semula dengan membuktikan keupayaan bersama La Roja kepada penyokong Arrizabalaga. Apa yang dia lalui di Chelsea sekarang adalah sesuatu yang juga berlaku kepada pemain lain sepanjang karier mereka,” katanya.

Arrizabalaga menjadi penjaga gol termahal dunia ketika berhijrah dari Athletic Bilbao ke Chelsea pada 2018 dengan harga 71 juta pound.

Bagaimanapun, di Stamford Bridge, Arrizabalaga bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak Inggeris hingga menyebabkannya disisihkan jurulatih Chelsea, Frank Lampard.

Kemerosotan Arrizabalaga menyebabkan Chelsea terpaksa menandatangani penjaga gol Senegal, Edouard Mendy sekitar 22 juta pound untuk mewujudkan kembali persaingan sihat dalam kem The Blues.

Artikel Berkaitan:

Arrizabalaga sebelum ini juga kehilangan tempatnya dalam skuad Sepanyol kepada penjaga gol sensasi Manchester United, David de Gea bulan lalu.

Sementara itu, Arrizabalaga mengakui beliau gembira dengan perjalanan kariernya walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun keyakinan dirinya tidak pernah hilang bersama Chelsea.

“Ya, saya berasa baik, kuat dan yakin. Mungkin bukan situasi yang saya impikan atau harapkan, tetapi kita semua harus melalui detik-detik seperti ini. Saya yakin dapat mengubah keadaan dan bersedia bekerja keras untuk itu.

“Setiap pemain mahu bermain begitu juga dengan saya, tetapi sekarang saya fokus setiap hari dan sekarang ini memberi tumpuan kepada La Roja. Sebenarnya sangat sukar dalam bola sepak untuk memikirkan jangka masa sederhana atau panjang,” katanya.