Najib mahu Khairuddin dihadap ke mahkamah

Kenyataan Najib yang dimuat naik di entri Faebooknya hari ini.
Kenyataan Najib yang dimuat naik di entri Faebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melanggar arahan kuarantin wajib.

Beliau berkata, biar mahkamah tentukan sama ada Ahli Majlis Syura Ulamak Pas itu bersalah atau tidak.

Menurutnya, beliau bukan hendak mengecam Pas, tetapi sedar rakyat amat tidak puas hati dengan perkara itu.

“Dakwa Menteri Perladangan dalam mahkamah. Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya sebab saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) atau Imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia.

“Jika kalah, masih boleh rayu,” katanya dalam entri di Facebooknya hari ini.

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dikecam selepas dikatakan tidak ikut arahan kuarantin wajib 14 hari selepas menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat tidak lama selepas pulang dari Turki.

Malah beliau turut dikenakan kompaun RM1,000 oleh KKM.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Najib turut menggesa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang Kluster Jalan Meru di Klang, Selangor.

Beliau juga turut mencadangkan pihak berkuasa melarang pergerakan rentas negeri di Semenanjung bagi semua trafik bukan komersial selama dua minggu.

“Nasihatkan rakyat tidak pulang ke kampung buat sementara waktu supaya tidak berjangkit kepada orang tua,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, majikan swasta dan kerajaan turut digalakkan supaya membenarkan kakitangan bekerja dari rumah.

“Jika tak mahu tutup sekolah, arahkan semua sekolah untuk beri kelonggaran dan tidak menghukum murid yang tidak hadir sebab ibu bapa bimbang penularan Covid-19.

“Sediakan pelajaran tiap-tiap hari dalam talian atau dihantar melalui WhatsApp kepada ibu bapa jika cikgu boleh.

“Benarkan premis-premis makanan untuk buka meja di kaki lima atau luar premis tanpa didenda sebab risiko penularan lebih rendah jika makan di luar (open air),” katanya.

Najib turut mencadangkan moratorium bayaran pinjaman bank dilanjutkan secara pukal bagi seluruh Sabah selagi ia masih bawah PKPD.

“Suruh Lim Kit Siang kecam Menteri Besar Selangor yang mohon maaf sebab langgar kuarantin,” katanya sinis.