691 kes baharu Covid-19, 4 kematian dicatat hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 691 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dan empat kematian pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 13,504 kes.

"Kes aktif pula meningkat kepada 2,936 kes," katanya pada sidang akhbar menerusi laman Facebook KKM yang dipancarkan dari kediamannya di sini hari ini.

Menurutnya, daripada 688 kes penularan di dalam negara, sebanyak 394 kes merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di

penjara di Kedah.

"Ia meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan dalam penjara.

"Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiga lagi kes di Kedah dikesan daripada Kluster Bah Sintok.

Dr Noor Hisham berkata lagi, KKM mengesan sejumlah 219 kes di Sabah yang terdiri daripada 120 kes saringan bergejala, 36 kes saringan komuniti dan 30 kes Kluster Bangau-bangau.

"Sebanyak 19 kes adalah daripada Kluster Ramai-Ramai, masing-masing lima kes saringan kontak rapat kes positif dan saringan petugas kesihatan serta empat lagi saringan masuk kerja," katanya.

Menurutnya, Selangor negeri ketiga tertinggi kes baharu harian positif Covid-19 dengan 38 kes.

Ia melibatkan 17 kes saringan pulang daripada Sabah, 11 Kluster Jalan Meru, sembilan dikesan positif dalam saringan kontak rapat dan satu Kluster Embun.

Di Perak pula, sebanyak lapan kes dikesan KKM iaitu tujuh daripadanya adalah Kluster Batu dan satu kes saringan pulang dari Sabah.

"Di Negeri Sembilan pula, tujuh kes didapati positif pada saringan pulang dari Sabah, manakala negeri Johor merekodkan enam kes yang terdiri tiga kes juga pulang dari Sabah serta bakinya, Kluster Jalan Meru," katanya.

Di Kuala Lumpur, empat kes dikesan melibatkan satu adalah pulang dari Sabah, satu kes Kluster Jalan Meru.

"Masing-masing satu kes saringan pra pembedahan dan satu kes saringan kontak rapat," katanya.

Sarawak pula mencatatkan tiga kes positif iaitu satu kes pulang dari Sabah.

"Dua lagi dikesan di saringan di Pintu Masuk Domestik pulang dari Semenanjung dan satu kes kontak rapat," katanya.

Di Pulau Pinang, tiga kes dikesan iaitu kes saringan pulang dari Sabah, kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) dan kes kematian.

"Negeri Terengganu dan Labuan merekodkan satu kes dengan masing-masing pulang dari Sabah.

"Putrajaya pula, Kluster Selasih turut merekodkan pertambahan satu kes," katanya Dr Noor Hisham.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 31 pesakit dirawat di unit rawatan rapi termasuk lapan memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes iaitu1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, 87 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 10,427 kes iaitu 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi usia setahun antara korban Covid-19