UKM FC sudah serah dokumen sampingan

Mohd Fairus Shafie
Mohd Fairus Shafie
A
A
A

UKM FC mengesahkan menghantar dokumen sampingan berhubung proses penswastaan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang diminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, kesemua dokumen termasuk dokumen sampingan yang diminta FAM dihantar pada 30 September lalu.

“Kita sudah serah kesemua dokumen itu kepada FAM. Sekarang terpulanglah kepada FAM bagi membuat penilaian.

“Apa pun, kita memang mengharapkan permohonan atau dokumen yang kita hantar itu lengkap dan mendapat kelulusan FAM,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed sebelum ini berkata, UKM FC dan Felda United antara dua pasukan Liga-M yang masih dalam proses saringan dokumentasi berhubung proses penswastaan kelab.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini menangguhkan keputusan kelulusan bagi proses penswastaan bagi UKM FC setelah mendapati dokumen dihantar bukan daripada Ahli Lembaga Pengarah UKM FC itu sendiri tetapi sebaliknya adalah dokumen daripada kelab sukan UKM FC.

Sementara itu, katanya, The Fighters pula tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah Felda kerana mereka menggunakan nama Felda dan bukannya kebenaran daripada pengurusan kelab Felda United.

Bagaimanapun, menurut Mohd Firdaus, FAM memberikan kebenaran sehingga hari ini kepada pasukan berkenaan bagi menyelesaikan penghantaran dokumen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Firdaus ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen sampingan seperti diminta UKM FC.

Dalam pada itu, Sinar Harian tidak dapat menghubungi Felda United bagi mendapatkan status terkini berhubung penyerahan dokumen sampingan berkenaan.