Gigit kaki buaya demi selamatkan anak

Diego Abulhasan, 12, diserang buaya ketika berenang di sebuah sungai berhampiran rumahnya. - Foto ViralPress
A
A

PALAWAN - FILIPINA.Demi menyelamatkan nyawa anaknya yang diserang seekor buaya, seorang ayah dengan berani berlawan dan menggigit kaki haiwan berkenaan.

Ketika kejadian, Diego Abulhasan, 12, bersama seorang adik lelakinya sedang berenang di sebuah sungai berhampiran rumah mereka di bandar Balabac, apabila seekor buaya tiba-tiba menyerang dan menariknya ke dalam air.

Tejada Abulhasan yang terdengar jeritan anaknya meminta tolong, segera berlari ke arah sungai dan tanpa berfikir panjang terjun ke dalam air dengan membawa kayu.

Lelaki itu memukul haiwan terbabit berulang kali, namun ia masih tidak melepaskan Diego.

Terdesak untuk menyelamatkan anaknya, Tejada bertindak menggigit kaki buaya itu sekuat hati untuk beberapa kali sehingga ia akhirnya melepaskan gigitan dan berenang meninggalkan mereka.

"Saya memukul buaya terbabit berulang kali namun ia tetap tidak melepaskan anak saya.

"Secara tiba-tiba saya terfikir untuk menggigit kakinya sekuat hati," kata Tejada yang bersyukur anaknya terselamat daripada maut.

Disebabkan kepantasan ayahnya bertindak, Diego tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan keluar dari hospital selepas dua hari.- Dailymail