1,118 pemancing meriahkan TMST 2020

Pemancing mengambil bahagian dalam pertandingan TMST 2020 di Pantai Dataran Kembara Mersing di Mersing Sabtu lalu.
Pemancing mengambil bahagian dalam pertandingan TMST 2020 di Pantai Dataran Kembara Mersing di Mersing Sabtu lalu.
A
A
A

MERSING - Seramai 1,118 pemancing menyertai pertandingan Tourism Malaysia Surfacasting Tour 2020 (TMST 2020) sekali gus memeriahkan usaha promosi lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Program anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu berlangsung dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pesisir Pantai Dataran Kembara Mersing di sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Ghapar berkata, penganjuran pertandingan memancing dilihat berupaya menyemarakkan semula sektor pelancongan tempatan sekali gus dapat meningkatkan ekonomi setempat apatah lagi sektor pelancongan negara ketika PKP pada masa kini bergantung kepada pelancong tempatan.

“Hotel dan homestay di Mersing dapat tempiasnya apabila tempahan bilik dilaporkan meningkat. Peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) seperti keropok lekor dan satar yang terkenal di daerah ini dapat tingkatkan jualan mereka.

“Ramai yang tahu tentang pertandingan memancing ini, ramai yang mengambil bahagian dan datang ke Mersing yang mempunyai pesisir pantai yang cantik selain dikelilingi dengan pemandangan pulau-pulau yang indah,” katanya.

Menurut beliau, TMST 2020 di Mersing akan menjadi pemangkin kepada Tourism Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak program promosi pelancongan mengikut SOP.

Peserta-peserta yang memenangi pertandingan TMST 2020 di Pantai Dataran Kembara Mersing di Mersing Sabtu lalu.
Peserta-peserta yang memenangi pertandingan TMST 2020 di Pantai Dataran Kembara Mersing di Mersing Sabtu lalu.

Bagi Pengarah Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran TMST 2020 dan peserta pertandingan turut memberi kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang TMST 2020 bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir sewaktu penyampaian hadiah kepada peserta ialah Pegawai Daerah Mersing, Asman Shad Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Tourism Johor, Afzan Azhari.

Sementara itu Ramli Baharom, 61, diumumkan sebagai pemenang pertandingan TMST 2020 Mersing selepas berjaya menaikkan ikan sembilang seberat 830 gram sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM35,000.

Ramli menganggap kemenangan terbabit sebagai tuah buat dirinya yang datang dari Pulau Pinang semata-mata mahu menyertai pertandingan memancing di Mersing.

“Memang tidak sangka akan menang, saya bersyukur dengan rezeki ini. SOP baharu diikuti pemancing dan mereka gembira dapat turut serta dalam pertandingan kali ini,” katanya.

Tempat kedua dengan hadiah kemenangan bernilai RM10,000 dimenangi pemancing, Mohd Hasmin manakala tempat ketiga dimenangi Asmad Mohd yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.