Penangguhan sesi pendaftaran pelajar IPT tidak dapat dielak

Segelintir pelajar yang berjauhan hadir pada hari pendaftaran kemasukan pelajar ketika tinjauan di Kolej Kediaman Za’ba dan Tunku Kurshiah Universiti Malaya (UM) semalam. - Foto Bernama
Segelintir pelajar yang berjauhan hadir pada hari pendaftaran kemasukan pelajar ketika tinjauan di Kolej Kediaman Za’ba dan Tunku Kurshiah Universiti Malaya (UM) semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan pihaknya tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan untuk menangguhkan kemasukan pelajar baharu bagi sesi Oktober ini dalam waktu yang singkat berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keputusan sukar itu dibuat setelah mengambil pandangan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta semua universiti yang terlibat.

"Negara masih belum terlepas daripada ancaman pandemik ini. Peningkatan kes Covid-19 berlaku secara konsisten baru-baru ini, contohnya di kawasan timur Sabah, daerah itu kini adalah zon merah, kira-kira 7,673 pelajar di sana dan jika dicampur dengan bilangan pelajar di seluruh Sabah mungkin mencecah 10,000 orang.

"Keputusan dibuat bagi mengekang penularan wabak itu dalam komuniti," katanya ketika menjelaskan isu penangguhan kemasukan pelajar ke IPT sesi Oktober dalam Buletin Bernama di saluran BernamaTV hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kekangan pelajar dalam aspek kewangan, logistik serta penginapan dan kementerian telah membuat ketetapan untuk membenarkan pelajar yang telah tiba untuk terus kekal di kampus sementara menunggu arahan selanjutnya.

Katanya, seramai 67,406 pelajar baharu yang terkesan dengan penangguhan itu masih boleh mengikuti sesi orientasi secara dalam talian mengikut universiti masing-masing.

"Bagi pelajar yang belum memulakan perjalanan ke universiti perlu kekal berada di rumah masing-masing dan mengikuti sesi suai kenal serta pembelajaran secara online.

"Saya tidak nafikan kesusahan ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa ini. Justeru setiap universiti sudah membuka bilik gerakan iaitu beroperasi 24 jam dan 12 jam. Pelajar boleh merujuk bilik gerakan itu untuk pertanyaan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Mustafa berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan lebih 800 lebih pusat internet desa bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah internet.

Bagi masalah pengangkutan pula, beliau berkata, syarikat penerbangan, bas dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah bersetuju membenarkan pelajar membuat penjadualan semula perjalanan ke kampus masing-masing terutamanya bagi mereka yang telah membeli tiket perjalanan.

Selain itu Mohamed Mustafa turut menjelaskan situasi yang berlaku dalam kalangan pelajar universiti ketika ini tidak sama seperti pelajar sekolah memandangkan jumlah terlibat adalah besar dan melibatkan pergerakan besar-besaran.

"Mengambil contoh kes di United Kingdom, apabila mereka membuka universiti, beratus-ratus pelajar dijangkiti Covid-19 ini termasuk kakitangan universiti. Jadi ada baiknya ia perlu ditangguh sementara waktu ini, beri keadaan kembali reda sekurang-kurangnya dua minggu dan jika keadaan bertambah baik, pelajar boleh ke kampus semula," katanya.

Sementara itu beliau berkata, semasa kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, kementerian menanggung kos makanan kepada lebih 80,000 pelajar di universiti melibatkan RM52 juta manakala perbelanjaan penghantaran pulang lebih 57,000 pelajar pula melibatkan RM17.4 juta.

"Kerajaan juga telah luluskan bantuan Prihatin RM200 kepada pelajar IPT berjumlah lebih 841,000 orang iaitu melibatkan kos RM168 juta. Bantuan ini diberikan semasa PKP pertama dahulu, semasa mereka berada di dalam kampus selama dua bulan.

"Ini bermakna kerajaan menerusi KPT mengeluarkan perbelanjaan yang cukup besar untuk membantu pelajar semasa PKP. Sebab itu pada kali ini, kalau perkara seumpama itu berlaku lagi kemampuan kerajaan juga terbatas jika hendak beri bantuan sepenuhnya," katanya. - Bernama